Kuala Lumpur 18 November : Tun Dr Mahathir Mohammad di dalam penulisan sosial medianya hari ini menzahirkan rasa kurang senang dengan papan tanda berbahasa asing.
Menurut beliau, apabila singgah di pusat membeli-belah terkemuka yang baru di ibu kota pada hari minggu, berasa seolah-olah berada di China.
Walaupun pusat beli-belah di sini lebih hebat dan gah berbanding negara luar, tetapi bahasa kebangsaan dipinggirkan dan bahasa Cina terlalu dipamerkan, kesal Tun Dr Mahathir.
Negarawan itu menyedari hanya terdapat papan tanda berbahasa Cina dan Bahasa Inggeris sebagai terjemahannya, bukan bahasa Kebangsaan diterjemahkan kepada bahasa lain.
“Tiada langsung bahasa Melayu. Tiada”, tegas beliau.
Perdana Menteri dua kali itu menyoal adakah ini Malaysia atau negara ini telah menjadi sebahagian wilayah China ?
Sambil memberi contoh di Jepun, bahasa mereka di papan tanda diterjemah oleh Bahasa Inggeris, tiada bahasa asing lain diutamakan.
Menurut Tun Dr Mahathir lagi, Malaysia satu-satunya negara di Asia Tenggara yang begitu bebas menggunakan karektor bahasa Cina di papan tanda, sehingga digelar Little China oleh media negara itu.
Rata-rata netizen berbilang kaum juga melahirkan kebimbangan dan bersetuju dengan pemerhatian Tun Dr Mahathir.
Mereka berpendapat Malaysia harus mengutamakan bahasa kebangsaan, sama seperti negara lain. Bukan bahasa asing dipromosikan.