KEGAGALAN dalam merancang kewangan daripada usia muda berkemungkinan akan memberikan kesan yang buruk dalam jangka masa panjang khususnya kepada simpanan di hari tua.
Justeru, celik deĀngan ilmu pengurusan kewangan yang baik dalam kalangan generasi muda bukan sahaja membantu dalam menguruskan simpanan, malah turut menyediakan laluan untuk membina masa depan yang lebih stabil.
Menurut pereka kandungan digital, Nur Fariesha Shaharuddin Kalithasan, celik kewangan adalah kunci kepada pengurusan simpanan yang efektif, terutama bagi golongan muda yang kini berdepan dengan tekanan kos hidup yang semakin tinggi.
āRamai anak muda masa kini berdepan dengan kos hidup yang tinggi maka ilmu pengurusan kewangan telah menjadi satu keperluan, bukan lagi pilihan.
āSebagai contoh, jika kita mampu mengasingkan sekurang-kurangnya 20 peratus daripada pendapatan bulanan untuk simpanan, dalam beberapa tahun, kita sudah mempunyai dana kecemasan atau modal untuk aset pertama seperti rumah atau kereta,ā katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Ujarnya, apabila golongan muda sedar tentang aliran tunai dan bijak mengawal perbelanjaan, mereka sebenarnya sedang membina kehidupan yang lebih terjamin.
āOleh itu, celik pengurusan kewangan wajar dijadikan penekanan dalam kalangan belia supaya mereka lebih bijak berbelanja dan konsisten dalam menyimpan,ā ujarnya.
Pekerja swasta, Che Aisyah Nadia Mohd Hashim turut menyarankan agar pendidikan kewangan diperkenalkan lebih awal supaya anak muda tidak mudah terpengaruh dengan budaya berbelanja secara impulsif yang banyak dipengaruhi oleh media sosial.
āKita sering terdedah dengan tawaran dan iklan produk yang mungkin tidak diperlukan, namun ramai yang mudah terikut kerana kurangnya kesedaran kewangan.
āSebagai anak muda yang baru beĀkerja, saya faham betapa pentingnya menyimpan, terutama untuk masa depan yang tidak pasti.
āMisalnya, saya sendiri mula dengan tabung simpanan kecemasan yang boleh digunakan jika berlaku perkara tidak diduga seperti kemalangan atau kos perubatan tinggi,ā jelasnya.
Tambah beliau, pengurusan kewangan merupakan pelan jangka panjang yang mampu memberi kestabilan kewangan dan kemudahan dalam masa yang panjang.
āDengan pengetahuan berkaitan kewangan, anak muda boleh belajar untuk melabur dalam instrumen seperti amanah saham, emas dan lain-lain,ā ujarnya.
Dalam pada itu, usahawan, Adibah Aliah Abdul Talib berkata, celik kewangan adalah penting bukan sahaja untuk perniagaan, malah dalam kehidupan peribadi.
Katanya, apabila seseorang mula bekerja atau mengusahakan perniagaan, mudah untuk terjebak dalam gaya hidup berĀbelanja besar.
āSaya sendiri pernah melalui pengalaman di mana perbelanjaan tak terkawal menjejaskan modal perniagaan saya.
āDari situ, saya belajar untuk menyimpan dan menetapkan bajet dengan jelas. Celik kewangan ini juga membuka mata saya tentang kepentingan pengurusan risiko, termasuk perlindungan insurans dan keperluan pelaburan yang sesuai,ā katanya.
Adibah berkata, golongan muda perlu peka tentang setiap ringgit yang dibelanjakan kerana menyimpan bukan bermaksud menghalang diri daripada menikmati hidup, tetapi lebih kepada perancangan bagi memenuhi impian dengan lebih teratur.
āDalam jangka masa panjang, kestabilan kewangan sangat penting terutama dalam menjamin masa tua yang lebih baik agar tidak menyusahkan ramai orang bila tua kelak,ā katanya.
Sumber – UTUSAN