5 November : Bekas Perdana Menteri Malaysia dua kali, Tun Dr Mahathir Mohammad hari ini melahirkan rasa hilang hormat kepada majoriti kaum kulit putih Eropah dan Amerika Syarikat atas apa yang berlaku di Timur Tengah.
Beliau berkata pembunuhan dan kekejaman yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel terhadap penduduk Arab di Gaza dan Lebanon sangat mengerikan dan tidak dihiraukan oleh Barat, malah bertindak sebagai sekutu kuat dalam ‘menaja’ pembersihan etnik di sana.
“Ia adalah mengerikan. Beribu-ribu rakyat Palestin telah terbunuh. Beribu-ribu lagi cedera. Beribu-ribu telah kehilangan kaki dan tangan mereka”, katanya dalam suatu kenyataan di sosial media.
Kehancuran bandar dan pekan di Gaza termasuk kem pelarian menyebabkan penduduk Arab di sana sudah tidak mempunyai tempat yang selamat.
Tun Mahathir yang terkenal diseluruh dunia kerana keberanian dalam mengkritik Zionis Israel berkata tamadun manusia moden sekarang sudah tidak berperikemanusiaan.
Negarawan itu meluahkan rasa hilang hormat terhadap orang Eropah yang kononnya selama ini dianggap sebagai pelopor hak asasi manusia.
“Sekarang saya tahu mereka hipokrit. Saya telah kehilangan rasa hormat saya terhadap mereka”, luah kekecewaan beliau.
Beliau juga berkata majoriti rakyat Eropah pastinya menganggap bahawa serangan Israel adalah bertujuan untuk mencapai keselamatan bagi negara Israel kerana saluran media Barat tidak akan menunjukkan kekejaman Zionis terhadap penduduk Arab sebagaimana yang ditayangkan dengan banyak sekali di saluran rangkaian berita Al-Jazeera.
Tun Dr Mahathir menegaskan apa yang berlaku di rantau itu adalah kerana adanya sokongan dari Barat.
”Pada asasnya mereka menyokong perang genosid Israel terhadap Palestin”, ujarnya.
DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
5 November 2024