PETALING JAYA: Walaupun sebilangan besar rakyat Malaysia memperoleh pendapatan hampir tidak mencukupi untuk menampung kehidupan, namun golongan rakyat negara ini yang kaya raya sudah pun merancang mengalihkan berjuta-juta ringgit bagi memastikan mereka menikmati tahun emas dan persaraan mereka dengan terbaik.
Satu tinjauan baru-baru ini oleh institusi kewangan global HSBC menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya separuh daripada rakyat Malaysia yang kaya sudah mempunyai rancangan untuk memenuhi keperluan kewangan mereka selepas bersara.
HSBC merujuk kepada mereka sebagai “perancang kuasa” atau power planners dalam edisi kedua Laporan Kualiti Hidup Globalnya, dan keperluan golongan ini bukanlah kecil. Bagi setiap individu kaya ini, tidak kurang daripada AS$830,000 (RM3.61 juta) wajib ada untuk persaraan di usia emas.
Kira-kira 73% daripada gologan ini mengatakan mereka sudah berada di landasan tepat untuk mencapai matlamat persaraan mereka.
Rata-rata, rakyat Malaysia yang kaya juga lebih komited untuk memastikan kejayaan rancangan persaraan mereka berbanding rakan sebaya mereka di golongan tahap pendapatan bawah.
Tinjauan menunjukkan bahawa 84% rakyat Malaysia yang kaya sudah mempunyai rancangan kewangan yang komprehensif untuk persaraan, berbanding purata tinjauan global sebanyak 72%.
Tinjauan HSBC meliputi 11,230 individu mewah di 11 pasaran, dengan 499 daripadanya adalah rakyat Malaysia.
Hanya mereka yang mempunyai aset AS$100,000 hingga AS$2 juta (RM434,000 hingga RM8.68 juta) sahaja yang termasuk dalam tinjauan itu.
Tinjauan itu dijalankan untuk mengetahui maksud kualiti hidup bagi individu mewah merentas generasi yang berbeza dan mengkaji hubungan antara kesejahteraan fizikal dan mental serta kecergasan kewangan.
Rakyat Malaysia yang kaya juga bimbang tentang kesihatan fizikal, kos penjagaan kesihatan dan inflasi.
Sebanyak 44% daripada mereka mempunyai perlindungan insurans yang mencukupi sebagai matlamat kewangan teratas, tinjauan itu menunjukkan.
Secara purata, rakyat Malaysia yang kaya mengetepikan sekurang-kurangnya 24% daripada pendapatan bulanan mereka untuk pelaburan.
Tinjauan awal tahun ini oleh institusi kewangan lain, Hong Leong Bank, menunjukkan bahawa hanya 12% rakyat Malaysia menganggap diri mereka sebagai golongan kaya.