Masa sukar buat pasangan pengasas bersama Fashion Valet Sdn Bhd (FashionValet) Vivy Yusof dan suaminya, Fadzarudin Anuar. Mereka bukan sahaja gagal dalam perniagaan untuk pelabur Gred A mereka iaitu GLC (government link company) – yang menjadi impian setiap syarikat start-up untuk mendapat dana, tetapi mendapat kecaman dari netizen dunia internet yang telah lama ‘merah mata’ dengan pasangan pengasas itu.
Kenyataan terbaru dari pasangan ini ialah mereka bercadang untuk berundur dan melepaskan jawatan mereka, dengan menyatakan keperluan untuk menyokong usaha pemulihan berterusan syarikat itu pada pengurusan baharu. Dengan erti kata lain, mereka tidak mahu kontroversi ini berterusan.
Inilah sebenarnya yang terjadi kepada banyak perniagaan Melayu khususnya founder, influencer atau artis. Sosok individu menjadi ikutan dan idaman, bukan produk mereka yang dihadapan. Maka apabila terjadi perkara negatif, sudah tentu ia akan meruntuhkan suatu bisnes yang dibina di atas ‘kekaguman’ itu tadi.
Bayangkan saban hari netizen-netizen ini dimomokkan dengan kejayaan serta kemewahan pasangan ini, sudah pasti ada yang cemburu. Manusia 70% lebih banyak negatif berbanding berfikiran positif, walau siapa jua dirinya. Kini FashionValet menjadi kecaman pengikut-pengikutnya sendiri. Ternyata anda jangan terlalu gembira apabila ramai yang suka dengan kejayaan anda, lebih-lebih lagi apabila melihat banyak followers di sosial media anda. Yang betul-betul ikhlas berminat kepada kejayaan anda, hanya mungkin 10%.
Perniagaan bangsa lain, khususnya Cina jarang meletakkan diri mereka di hadapan atau menjadi ikutan. Mereka mengutamakan kualiti jenama atau membangunkan produk serta mutu servis mereka untuk mengekalkan dan juga menambah pelanggan. Bukan melalui kekaguman kepada cara kehidupan pengasas bisnes itu. Atau mungkin pengguna pasaran bisnes bukan Melayu lebih bijak dalam membeli sesuatu produk berbanding pengguna segmen Melayu yang membeli berdasarkan perasaan atau sentimen.
Akibat dari tidak mampu mengembangkan perniagaan FashionValet yang gah hanya dari segi follower sosial media dan kekaguman terhadap pengasasnya, akhirnya mereka mengaku bertanggungjawab ke atas cabaran FashionValet, dengan mengaitkan kegagalan mereka kepada rancangan pengembangan yang terlalu bercita-cita tinggi dan gagal menyesuaikan diri dengan perubahan pasaran.
Pelabur gred A mereka ialah syarikat milik kerajaan Khazanah Nasional dan Permodalan Nasional Berhad (PNB), yang melabur RM47 juta dalam syarikat itu pada 2018. Idaman setiap syarikat di Malaysia untuk menerima pelabur ini.
Kementerian Kewangan telah mengesahkan bahawa kedua-dua organisasi itu memperoleh semula hanya RM3.1 juta daripada penjualan saham mereka baru-baru ini, terus melahirkan perasaan tidak puasa hati orang awam. Sebenarnya banyak sahaja syarikat yang rugi, pelaburan yang gagal, tetapi seperti dikatakan di atas, apabila ia diperibadikan, maka sasaran mengkritik dan menghukum menjadi lebih hebat. Ia kerana orang awam mengenali anda dan gaya hidup anda. Seolah-olah anda merupakan peniaga yang tidak bertanggungjawab, tetapi hidup secara mewah dengan dana awam.
Peniaga dan pengasas Melayu harus mengubah mindset yang naif bahawa dengan menunjukkan gaya hidup yang mewah, boleh menanam keyakinan terhadap jenama dan produk. Ia meleset dan tidak akan kekal lama. Perniagaan itu akan bertahan jika produk atau servis yang anda tawarkan adalah diperlukan atau menjadi kehendak yang baik untuk pelanggan. Itu sahaja. Selain dari itu, ia adalah mengundang keseronokan yang tidak stabil dan hasil sementara.
Pada 2018, Khazanah dan PNB melabur RM47 juta dalam FashionValet, dengan Khazanah menyumbang RM27 juta dan PNB RM20 juta, untuk memperoleh pegangan minoriti.
Adalah sedih apabila usahawan bumiputera dimalukan begitu besar di berita semasa. Padahal banyak lagi kerugian syarikat lain yang serupa. Cuma, perniagaan itu tidak diperibadikan, maka tiada siapa yang tahu dan tidak ambil peduli.
Nota: Kenapa rakyat marah dengan 1MDB ?