Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mempersenda keputusan polis membatalkan kebenaran terhadap penganjuran debat antara beliau dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz.
Ia susulan Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam membatalkan kelulusan itu atas alasan ketenteraman awam berikutan aduan daripada penduduk setempat.
Bagaimanapun, Mahathir menegaskan bahawa lokasi debat itu, di pejabat Karangkraf di Shah Alam, adalah kawasan perindustrian.
“Petang tadi (semalam) saya dapat maklumat, polis kata tak boleh, kononnya ada orang-orang di situ buat laporan, takut jadi huru hara.
“Bukan ada siapa pun duduk di situ, yang ada kilang saja. Jadi sekali lagi dibatal. Dibatal kerana apa, kerana takut,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.
Program tersebut sepatutnya dijadualkan berlangsung 7 April ini.