PETALING JAYA: Skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlu diwajibkan untuk pekerja sektor tidak formal dan bukannya secara sukarela seperti sekarang.
Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, KWSP boleh memperkenalkan skim caruman mandatori yang disesuaikan untuk pekerja tidak formal.
“Skim ini membolehkan individu disektor tidak formal mencarum dan membina dana persaraan mereka berdasarkan pendapatan mereka.
“Ada sesetengah majikan yang menawarkan padanan caruman atau insentif untuk pekerja menyimpan lebih banyak ke arah persaraan mereka. Majikan secara aktif cuba meningkatkan jumlah persaraan untuk pekerja mereka, walaupun gajinya sederhana,” katanya kepada Utusan Malaysia.
KWSP merekodkan sejumlah 8.6 juta ahli aktif, yang kini mewakili 50 peratus daripada 17.15 juta tenaga buruh Malaysia pada separuh pertama 2024.
Jumlah caruman sukarela ialah RM7.51 bilion pada separuh pertama 2024, meningkat 91 peratus daripada RM3.93 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Mengulas lanjut, beliau berkata,, kerajaan atau pihak yang terlibat juga boleh melaksanakan kempen pendidikan dan kesedaran meningkatkan celik kewangan.
“Ramai pekerja sektor tidak formal mungkin tidak memahami sepenuhnya kepentingan simpanan persaraan atau mereka merasakan tidak mampu untuk mencarum.
“Justeru, kerajaan perlu mengambil inisiatif untuk meningkatkan kesedaran melalui kempen pendidikan, bengkel, dan program celik kewangan yang disasarkan kepada pekerja sektor tidak formal,” katanya.
Jelas Syed Hussain, pekerja tidak formal hendaklah dididik tentang kelebihan caruman KWSP, termasuk insentif cukai, simpanan persaraan dan akses kepada faedah berkaitan KWSP seperti sokongan hilang upaya dan pengeluaran untuk pembelian rumah.
“Kerajaan juga boleh menawarkan insentif kewangan, seperti sumbangan padanan untuk pekerja sektor tidak formal sehingga had tertentu. Ini akan memberi alasan tambahan kepada pekerja tidak formal untuk mencarum kepada KWSP.
“Selain itu, lebih menarik, mereka boleh menawarkan potongan cukai atau faedah fiskal lain untuk caruman yang dibuat oleh individu yang bekerja sendiri atau pekerja tidak formal boleh menggalakkan penyertaan dalam program simpanan persaraan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sistem pembayaran automatik perlu dilakukan untuk pekerja gig agar boleh memotong sebahagian daripada pendapatan pekerja untuk mencarum kepada KWSP.
“Kerjasama antara KWSP dan platform gig boleh membantu menguatkuasakan caruman dan memastikan pekerja gig menabung untuk persaraan,” katanya.
Baru-baru ini, Pengerusi KWSP, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, struktur gaji rendah di Malaysia menjadi faktor utama jumlah simpanan KWSP yang tidak mencukupi.
Beliau berkata, caruman yang tidak teratur, terutama dalam kalangan mereka yang menceburi ekonomi tidak formal atau ekonomi gig juga memburukkan lagi keadaan.