spot_img
spot_img

Peniaga dan pengguna peroleh manfaat dengan petunjuk ekonomi yang positif 2024-2025

spot_img

PETALING JAYA: Peniaga menjangkakan persekitaran perniagaan yang menggalakkan di Malaysia bagi suku ketiga 2024, dengan petunjuk keyakinan positif sebanyak 4.7 peratus, meningkat daripada 0.7 peratus pada suku kedua 2024.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin menyatakan, semua sektor menjangkakan perspektif perniagaan yang lebih cerah untuk suku tahun ketiga 2024.

Jelasnya, sentimen peniaga dalam sektor industri kekal menggalakkan dengan +4.1 peratus pada suku rujukan berbanding +5.3 peratus pada suku sebelumnya.

- Advertisement -

“Sentimen kukuh ini disokong oleh keyakinan positif daripada keempat- empat subsektor Industri, iaitu Elektrik dan Air (+23.3 peratus), Perlombongan (+6.7 peratus), Pembuatan (+2.0 peratus) dan Pertanian (+0.6 peratus).

“Sementara itu, sektor perkhidmatan menjangkakan keadaan perniagaan yang bertambah baik dengan petunjuk keyakinan melonjak semula kepada trajektori positif dengan +8.3 peratus daripada -0.9 peratus yang dicatatkan pada suku tahun kedua 2024.

“Anjakan ini didorong terutamanya oleh peningkatan dalam petunjuk keyakinan kesihatan (+40.0 peratus), diikuti oleh Insurans (20.6 peratus) dan penginapan (+16.7 peratus),” katanya dalam kenyataan.

Menurut Mohd.Uzir, petunjuk keyakinan bagi sektor pembinaan juga bertukar positif dengan catatan +2.2 peratus pada suku ketiga 2024 berbanding -14.8 peratus sebelumnya.
- Advertisement -

“Begitu juga, sentimen bagi sektor perdagangan borong dan runcit bertukar ke landasan positif dengan petunjuk keyakinan mencatatkan +1.4 peratus berbanding -4.1 peratus pada suku sebelumnya.

“Walaupun sektor perdagangan borong dan runcit optimis mengenai persekitaran perniagaan bagi suku ketiga 2024, namun peniaga kecil dan sederhana berwaspada dengan persaingan yang berterusan, termasuk persaingan jualan atas talian,” katanya.

Melihat kepada prospek perniagaan bagi separuh kedua 2024, peniaga menjangkakan persekitaran perniagaan yang menggalakkan dengan imbangan bersih +23.5 peratus berbanding +14.9 peratus yang dicatatkan untuk tempoh April hingga September 2024.
“Sentimen dalam sektor perkhidmatan bertambah baik dengan imbangan bersih +30.8 peratus berbanding +9.5 peratus yang dicatatkan sebelum ini.

“Semua subsektor di bawah sektor perkhidmatan menjangkakan prospek positif untuk enam bulan yang akan datang, dengan subsektor kesihatan, penginapan dan pendidikan paling optimistik,” katanya.

Mohd. Uzir menjelaskan, pada masa yang sama, sektor industri menjangkakan keadaan perniagaan yang menggalakkan dengan imbangan bersih +23.2 peratus berbanding +25.6 peratus yang direkodkan sebelumnya.

“Bagi sektor pembinaan, prospek kekal cerah bagi tempoh enam bulan akan datang, dengan imbangan bersih +21.7 peratus berbanding +3.7 peratus yang dicatatkan sebelum ini.

“Sektor perdagangan borong dan runcit bertukar optimistik terhadap situasi perniagaan bagi enam bulan akan datang berakhir Disember 2024, dengan imbangan bersih +13.4 peratus berbanding -1.5 peratus sebelumnya,” katanya.

Sementara itu, MIDF Research berkata, perdagangan runcit di Malaysia berkembang sebanyak enam peratus tahun ke tahun pada Julai 2024, mencapai RM63.5 bilion, dengan penggunaan runcit kumulatif mencapai RM440.8 bilion dalam tujuh bulan pertama 2024. Ini selepas meningkat dari RM414.8 bilion dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun 2023 manakala, RM369.9 bilion dalam tujuh bulan pertama 2022.

“Pertumbuhan ini didorong terutamanya oleh peningkatan yang kuat dalam sektor makanan & minuman (F&B), tembakau dan kedai tidak khusus.

“Kenaikan ini menunjukkan bahawa jualan runcit telah melepasi tahap sebelum pandemik, menonjolkan keutamaan baru rakyat Malaysia untuk membeli-belah secara peribadi setelah pembukaan semula sempadan dan pemulihan ekonomi,” katanya dalam nota penyelidikan.

Melangkah ke hadapan, MIDF Research percaya bahawa perbelanjaan penggunaan domestik dapat menjadi mampan, disokong oleh persekitaran makroekonomi yang stabil, kadar pekerjaan yang konsisten, kenaikan gaji bagi penjawat awam dan peningkatan secara beransur-ansur dalam sektor pelancongan, yang akan terus merangsang perbelanjaan runcit.

“Oleh itu, kami menjangka bahawa barangan keperluan pengguna tempatan dan kedai barangan umum seperti Aeon (Beli, TP: RM1.67) akan terus melihat pertumbuhan pendapatan yang kukuh dalam tahun 2025, disokong oleh momentum positif perbelanjaan domestik,” katanya.

Sementara itu, firma penyelidikan itu berkata, pengenalan Akaun Fleksibel EPF (Akaun 3) dijangka dapat merangsang perbelanjaan pengguna secara signifikan dengan menawarkan ahli kebolehan untuk mengeluarkan dana pada bila-bila masa dan untuk sebarang tujuan.

“Akses luar biasa kepada kecairan tambahan ini telah diterjemahkan kepada aliran tunai yang lebih tinggi untuk pengguna, menyebabkan peningkatan perbelanjaan pada barangan tidak penting dan keperluan.

“Lonjakan pendapatan boleh guna dijangka akan mendorong permintaan, terutamanya dalam sektor barangan pengguna bergerak pantas (FMCG) dan runcit. Bagi banyak isi rumah, kemampuan untuk mengakses dana dari Akaun 3 memberikan bantuan kewangan yang penting, membantu menampung perbelanjaan hidup dan kos keperluan lain,” katanya.

Di samping itu, MIDF Research menjelaskan, trend ini semakin kukuh dengan kenaikan gaji yang akan datang bagi penjawat awam, berkuat kuasa Disember 2024, yang dijangka memberikan dorongan besar kepada pendapatan boleh guna, sekali gus meningkatkan penggunaan runcit.

“Seiring dengan kesan pandemik yang pudar, sebahagian besar pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mungkin akan disalurkan ke arah perbelanjaan tidak penting.

“Ini boleh menandakan perubahan struktur ke arah tahap penggunaan yang lebih tinggi, terutamanya memberi manfaat kepada premis F&B yang berprofil pertengahan hingga tinggi dan peruncit yang mengkhusus dalam barangan dan perkhidmatan tidak penting.

“Secara keseluruhan, kami menjangkakan sektor pengguna tidak penting sebagai penerima utama aliran tunai yang meningkat, terutamanya dalam kalangan isi rumah berpendapatan rendah, di mana pendapatan boleh guna yang lebih tinggi dijangka merangsang peningkatan perbelanjaan tidak penting,” katanya.

 

 

Sumber – UTUSAN

 

What’s your Reaction?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img