Gaza 14 Ogos: Betapa berkuasanya negara Zionis Israel. Merekalah sebenarnya kuasa dunia, bukan negara-negara kaya Kumpulan 7 (G7). Semalam, Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben Gvir telah mengingkari larangan terhadap ibadat Yahudi di halaman Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur bersama lebih 2,200 peneroka haram memasuki masjid suci umat Islam, kononnya untuk memperingati Tisha B’Av, hari puasa tahunan Yahudi yang menandakan beberapa bencana dalam sejarah Yahudi.
Kementerian Luar Perancis mengecam tindakan menteri zionis itu dengan kenyataan “Provokasi baharu ini tidak boleh diterima”.
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) juga seperti biasa hanya mampu mengutuk zionis Israel. “Kami menentang sebarang usaha untuk mengubah status quo di dalam tapak suci, Masjid Al-Aqsa, seperti tempat suci lain di Baitulmaqdis, harus diserahkan kepada mereka sendiri (umat Islam) dan harus dikawal oleh pihak berkuasa agama sedia ada untuk tapak itu. Tingkah laku seperti ini tidak membantu dan ia sangat provokatif”, menurut PBB dalam satu kenyataan.
Lebih memalukan dan memilukan ialah apabila negara-negara Arab di sekeliling Palestine juga tidak mampu bersatu hati dalam membela maruah agama dan bangsa mereka di tanah Arab sendiri. Jordan, Arab Saudi, Qatar, dan Mesir seolah-olah melepaskan tangan dengan menggesa masyarakat dunia, bukan sesama mereka, untuk menghentikan tindakan keganasan zionis Israel di bumi Palestine.
(70 tahun lebih sengsara. Rakyat Palestine tidak lagi berharap pada negara Arab berhampiran yang sebangsa dan seagama)
Palestine tidak akan aman selagi bangsa Arab tidak bersatu untuk mempertahankan maruah mereka sendiri dan membuang sikap kabilah, mementingkan kebendaan serta kuasa.
“Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran, di muka dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia” (QS Ar-Ra’d: 11).