KUALA LUMPUR: U Mobile memperkenalkan Sekolah Digital sebuah inisiatif yang berfokus untuk membawa manfaat pendigitalan kepada institusi pendidikan melalui Projek Rintis: Ekosistem Tanpa Tunai.
Ketua Perniagaan Digital U Mobile, Eddie Quek Wei Leng berkata, pada peringkat pertama inisiatif ini, U Mobile telah bekerjasama dengan empat buah sekolah kerajaan untuk melancarkan Projek Rintis: Ekosistem Tanpa Tunai Untuk Sekolah-sekolah Kerajaan.
“Ini adalah dengan sokongan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan mereka mencadangkan untuk dimulakan dengan sekolah-sekolah awam yang kurang dalam sekolah tanpa tunai berbanding sekolah swasta.
“Matlamat kami adalah untuk mempercepatkan pendigitalan dalam bidang pendidikan menerusi teras Sekolah Digital ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran dan perasmian Sekolah Digital Bersama U Mobile, di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif U Mobile, Wong Heang Tuck berkata, ini selaras dengan matlamat kerajaan untuk membentuk masyarakat yang memiliki keupayaan digital dan dipacu oleh teknologi.
“Sebagai sebuah syarikat Malaysia, kami percaya bahawa kami boleh memainkan peranan penting dalam mempromosikan pendigitalan untuk generasi yang akan datang,” katanya.
Beliau berkata, menerusi Digital Sekolah U Mobile, pihaknya berhasrat memperkenalkan perkhidmatan dan penyelesaian digital seperti pembayaran tanpa tunai, pencatatan kedatangan dan pemantauan keselamatan secara digital, platform Al untuk pembelajaran, kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan banyak lagi untuk institusi pendidikan.
“Tumpuannya adalah untuk meningkatkan tahap celik kewangan dan pengurusan wang pintar menerusi platform pembayaran digital.
“Penyelesaian teknologi kewangan (Fintech) ini akan membolehkan para pelajar sekolah kerajaan melaksanakan transaksi tanpa tunai di sekolah mereka, seperti membayar makanan di kantin atau membeli barangan di kedai koperasi dan kedai buku sekolah.
Dalam pada itu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pendidik dan ibu bapa perlu mendidik anak-anak sedari kecil untuk bersedia dengan ledakan teknologi digital baharu.
“Bagaimanapun, mereka ini perlu dipantau dan berwaspada supaya tidak terjerumus dan rosak akibat teknologi baharu.
“Kami mendapati daripada pihak Bahagian Siasatan Jenayah Seksual Wanita & Kanak-Kanak D11 Bukit Aman, misalnya, memaklumkan aplikasi Whatsapp banyak disalah gunakan untuk tujuan pengantunan seksual atau ‘sexual grooming’ kanak-kanak.
“Platform-platform ini perlu lebih bertanggungjawab dalam memastikan bebas daripada elemen-elemen jenayah dan kita perlu memastikan mereka akur dengan undang-undang negara.
“Jadi, perkara ini sedang dalam penelitian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), dan saya serahkan kepada mereka untuk mengambil apa-apa tindakan yang mereka rasakan wajar dan perlu untuk memastikan internet lebih selamat bagi kanak-kanak dan keluarga,” katanya.
Sumber – UTUSAN (HENDRA WINARNO)
Foto : SYAKIR RADIN (UTUSAN)