SHAH ALAM: Dalam usaha menormalisasi kemahiran sebagai gaya hidup dan kerjaya, Akademi Bateriku telah memperkenalkan program mikrokredential (program jangka pendek) untuk melengkapkan pelajar Program Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dengan kemahiran teknousahawan dalam bidang automotif.
Ketua Pegawai Eksekutif Bateriku (M) Sdn. Bhd., Azarol Faizi Zakaria Ansari berkata, selari dengan peredaran zaman, kemahiran merupakan tunjang utama untuk meningkatkan taraf hidup seseorang.
Kata beliau, pada hari ini, peluang untuk menjana pendapatan lebih mudah dan fleksibel dengan keberadaan teknologi serta ekonomi gig.
“Justeru, pihak kami telah merangka kursus yang mengatasi latihan vokasional tradisional dalam usaha menyokong bidang TVET, seiring landskap teknologi dan keusahawanan yang sentiasa berkembang,” katanya ketika ditemui di Akademi Bateriku di TTDI Shah Alam, baru-baru ini.
Azarol Faizi berkata, program khusus tersebut mengintegrasikan kepakaran teknikal dan aspek keusahawanan dalam usaha memupuk generasi pemikir inovatif dan penyelesai masalah yang bersedia untuk mengemudi masa hadapan industri automotif di negara ini.
Jelasnya lagi, Akademi Bateriku diwujudkan pada 2022 turut menyediakan kursus asas-asas perniagaan, termasuk pengurusan kendiri, pemasaran, kewangan, dan perancangan perniagaan, serta latihan dalam pengurusan keusahawanan automotif.
“Dengan menggabungkan aplikasi dunia sebenar, projek “hands-on”, dan bimbingan teknikal, peserta kursus di Akademi Bateriku akan turut diterapkan minda keusahawanan yang mantap oleh tenaga pengajar yang berpengalaman.
“Tumpuan aspek keusahawanan penting, bagi memastikan graduan bukan sahaja mahir dalam bidang mereka tetapi juga mampu mengenal pasti peluang pasaran, membangunkan model perniagaan, dan melancarkan usaha niaga yang diperlukan oleh industri,” ujarnya.
Mengulas lanjut beliau berkata, Program Mikrokredential tersebut berfungsi sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi dan penciptaan pekerjaan, sejajar dengan matlamat pembangunan negara yang lebih luas dalam menangani jurang kemahiran dalam tenaga kerja.
Tambahnya lagi, secara ringkasnya, program latihan di Akademi Bateriku mewakili pendekatan strategik dan inovatif kepada pendidikan vokasional, menyediakan bakat TVET untuk cemerlang dalam dunia yang berdaya saing dan dipacu teknologi mutakhir.
Sumber – UTUSAN