spot_img
spot_img

Masalah ahli parlimen lompat-melompat akan terus membelengu rakyat

spot_img

Ada pihak kata enam bekas Ahli Parlimen Bersatu mesti kosongkan kerusi. Ada pihak kata tak perlu. Masing-masing melihat akta antilompat parti dan Perlembagaan mengikut interpretasi tersendiri dan yang mana memberi kelebihan kepada pihak masing-masing.

Dalam sejarah muda Malaysia, masalah lompat parti bermula selepas Perdana Menteri kali ke 2 Tun Dr Mahathir melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri dari kerajaan Pakatan Harapan (PH) 1.0 .

Tan Sri Muhyiddin naik ke jawatan Perdana Menteri dengan sokongan ahli parlimen dari UMNO dan PAS yang menubuhkan Perikatan Nasional (PN), di mana Bersatu di bawah kepimpinannya meninggalkan PH yang terdiri dari PKR dan DAP. Maka bermulalah episod ketidakstabilan politik negara hingga menyaksikan penukaran 3 Perdana Menteri dalam satu penggal (pasca PRU14).

- Advertisement -

Rakyat sentiasa ditekan kerisauan dan kebimbangan bahawa ahli-ahli parlimen mereka yang baharu diberi kemenangan di peti undi akan melompat ke parti lawan pula.

Selain kejadian penubuhan PN, pernah terjadi juga kejadian sebelum itu di mana kerajaan Sabah jatuh setelah menang pilihan raya. Di semenanjung pula kerajaan Pakatan Rakyat di Perak tumbang apabila beberapa Adun melompat parti pada 2009. Namun ia tidaklah sebesar Langkah Sheraton 2020 yang menumbangkan kerajaan Persekutuan dari PH 1.0 yang dipilih rakyat 18 bulan sebelum itu.

Menurut Kertas Kajian Awal Berkaitan Undang-undang Lompat Parti, sekiranya dibuat perbandingan dengan negara lain di rantau Asia Tenggara, Malaysia boleh dianggap sebagai negara berdepan masalah paling ramai ahli Parlimennya yang melompat parti. Ia bukan satu rekod yang boleh dibanggakan malah memalukan dan juga menyusahkan rakyat majoritinya yang terpaksa terjebak dengan kancah politik yang tidak berkesudahan yang hanya menguntungkan ahli-ahli politik merebut kuasa.

- Advertisement -

Ekoran itu, Rang Undang-undang (RUU) Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, yang dikenali sebagai ‘akta antilompat parti’. dikuatkuasakan. Kewujudan RUU itu adalah syarat yang ditetapkan dalam memorandum persefahaman antara perdana menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dengan pihak pembangkang di waktu itu yakni PH (PKR dan DAP) di mana ketuanya ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sejak persetujuan yang dicapai antara Ismail Sabri dengan PH, Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengadakan banyak sesi perbincangan dengan Ahli Parlimen mengenai rang undang-undang dan segala perkara perundangan berkaitan. Beliau ketika itu menteri di Jabatan Perdana Menteri berkenaan Parlimen dan undang-undang.

Dalam draf RUU Perlembagaan (Pindaan) berhubung akta antilompat parti, dihuraikan beberapa keadaan di mana seseorang Ahli Parlimen diklasifikasikan sebagai lompat parti sekali gus terpaksa mengosongkan kerusi untuk memberi laluan kepada pilihan raya diadakan.

Menurut Wan Junaidi,

undang-undang yang digubal merupakan satu pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan dan bukan akta yang khusus supaya ia kekal dan sukar dicabar,

 seperti dilapor Bernama 31 Mac 2022.

Sudah tentu rakyat Malaysia beranggapan bahawa setiap Ahli Parlimen meneliti dan menghayati segala peruntukan dan istilah yang terkandung dalam RUU itu, serta mengenalpasti kelompongan dan kelemahan jika ada. Rakyat percaya bahawa semua ahli parlimen berpuas hati kerana apabila RUU berkenaan dibentang di Dewan Rakyat oleh Ismail Sabri, ia disokong majoriti Ahli Parlimen seperti di dalam laporan Berita Harian:

“Pada 28 Julai (2022) Dewan Rakyat mencatat sejarah apabila RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti diluluskan dengan sokongan majoriti lebih 2/3.

RUU yang digubal berasaskan lapan parameter utama itu diluluskan menerusi undi belah bahagian selepas dibentangkan oleh Ismail Sabri. Ia diluluskan selepas dibahas selama dua hari oleh 54 Ahli Parlimen mewakili kerajaan dan blok pembangkang, namun sesi perbahasan itu tidak disertai mana-mana wakil rakyat Bersatu.

Umum tahu Bersatu berada dalam kerajaan Ismail Sabri yang mengambil alih jawatan perdana menteri daripada presidennya, Muhyiddin Yassin, yang meletak jawatan.

Membaca wakil rakyat Bersatu tidak menyertai sesi perbahasan RUU yang dibentang Ismail Sabri telah mengesahkan laporan media beberapa hari lalu yang memetik Perdana Menteri Anwar Ibrahim mendakwa PH pernah mengusulkan supaya pindaan dibuat terhadap peruntukan berkenaan pada 2022 tetapi ditolak oleh pihak kerajaan ketika itu.

Dulu kita (PH) cadang mana-mana yang dibuang parti ditolak (mengosongkan kerusi) tapi tidak disetujui oleh kerajaan masa itu sebab masa itu orang Umno masuk parti dia,

media memetik PMX sebagai berkata. Anwar menujukan kenyataan itu kepada ahli-ahli parlimen Umno yang melompat masuk ke Bersatu yang bersama dalam kerajaan PN.

Kini isu lompat kembali lagi apabila enam Ahli Parlimen daripada Bersatu menyatakan sokongan terhadap perdana menteri tetapi tidak keluar parti. Timbul pelbagai interpretasi status mereka. Ada pihak kata mereka mesti mengosongkan kerusi. Ada pihak kata tidak perlu. Dipertikaikan juga sama ada speaker Dewan Rakyat berhak menentukan kedudukan enam Ahli Parlimen tersebut. Masing-masing melihat peruntukan antilompat parti dan Perlembagaan mengikut interpretasi tersendiri yang boleh memberikan kelebihan kepada diri masing-masing.

Kata wartawan veteran, A Kadir Jasin,

beribu-ribu undang-undang dibuat oleh Parlimen dan Dewan Undangan Negeri dan sebanyak itu juga undang-undang dilanggar oleh Ahli Parlimen dan Ahli DUN sendiri. Ini adalah kerana masing-masing mempunyai interpretasi dan kepentingan sendiri.

Benar satu pendapat berkata, masalah negara banyak ditimbulkan dari ahli politik itu sendiri, bukannya sebab keadaan sesebuah negara itu. Ini kerana politik sekarang adalah kerjaya, bukan lagi sebagai memberi khidmat. Jika tidak ada kerjaya, bagaimana nak hidup ?

Yang jelas kemelut ini akan terus membosankan, memualkan dan memberi kesan kepada ekonomi kita sebagai rakyat biasa. Ia tidak akan berakhir dalam waktu terdekat ini.

 

Pendapat Editorial Berita Tular. Sumber dirujuk dari Mohsin Abdullah, pengarang di FMT

What’s your Reaction?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
1
+1
0
+1
0

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img