PETALING JAYA: Peraturan mengenai penjualan rokok elektronik atau vape, termasuk melalui mesin layan diri, hampir dimuktamadkan, kata menteri kesihatan Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata Jabatan Peguam Negara sedang dalam peringkat akhir menyemak perkara itu, lapor Bernama. Pelaksanaan akan diteruskan apabila peraturan diluluskan.
Dzulkefly berkata awal bulan ini peraturan lebih ketat untuk vape dan rokok elektronik mungkin dilaksanakan pada Ogos tahun ini.
Komen menteri itu datang beberapa hari selepas portal FMT melaporkan bahawa pengguna media sosial berang serta berasa tidak selesa mengenai mesin layan diri vape yang dipasang di pusat beli-belah terkemuka di Kuala Lumpur.
Laporan oleh portal berita itu mendapati pelanggan boleh membeli produk vape dengan mudah daripada mesin layan diri dengan memilih produk pilihan mereka pada interface skrin sentuh dan membayar melalui e-dompet.
Semalam, mesin layan diri telah ditutup oleh pengurusan pusat beli-belah berkenaan; kementerian kesihatan berkata pegawai penguatkuasa telah bertemu pihak pengurusan untuk menjelaskan larangan penjualan dan paparan produk merokok.
Penjualan e-rokok melalui mesin layan diri kini diharamkan oleh peraturan kawalan tembakau di bawah Akta Makanan.
Undang-undang baharu untuk mengawal produk merokok akan melarang penjualan dan paparan semua produk merokok, termasuk melalui mesin layan diri.