Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mempertahankan keputusannya untuk membenarkan syarikat milik pengurus dana Amerika Syarikat yang kontroversi, BlackRock untuk membeli saham dalam konsortium yang menguruskan lapangan terbang Malaysia. Pada masa yang sama, Anwar menuduh pengkritiknya untuk cuba menunggang isu BlackRock ini untuk kelebihan politik pembangkang.
Anwar tidak mengendahkan akan tuduhan keterlibatan BlackRock dalam pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestine kerana peranan signifikan syarikat itu dalam meningkatkan ekonomi dan persenjataan tentera penceroboh Zionis Israel.
Alasan Anwar untuk menerima BlackRock adalah kerajaan Malaysia tidak boleh memutuskan hubungan dengan syarikat-syarikat yang mempunyai hubungan dengan Israel.
Perdana Menteri berkata, “Bagaimana pula dengan syarikat yang beroperasi di AS, Jerman atau China tetapi mempunyai hubungan dengan Israel?”. Menurut beliau, negara tidak mampu untuk melaksanakan ’embargo’ semata-mata kerana sesebuah entiti perniagaan itu mempunyai kepentingan perniagaan dengan negara Zionis. Ini kerana tindakan terpilih seperti itu dikhuatiri akan merosakkan ekonomi negara.
Anwar menerima desakan hebat dari musuh politik, pertubuhan pro-Palestine dan tanda tanya dari rakyat Malaysia terutamanya dari rakyat beragama Islam dan orang Melayu.
Bekas menteri Khairy Jamaluddin memberi peringatan kepada Anwar bahawa beliau akan terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai Israel di Gaza jika beliau enggan membatalkan rancangan itu.
Penganalisis politik lain juga berpendapat bahawa ucapan Anwar di pentas dunia berkenaan perjuangan Palestine akan menjadi retorik semata-mata, sama seperti pemimpin-pemimpin Arab yang berada di sekeliling Palestine; di mana mereka hanya berpeluk tubuh tidak menentang Zionis Israel melakukan keganasan, malah mempunyai hubungan diplomatik dan perdagangan dengan kepentingan negara penceroboh itu.
Bukan dari segi moral sahaja, malah dari segi komersialnya, ia menjadi tanda persoalan. Ini kerana belum ada rekod yang cemerlang oleh BlackRock dalam menguruskan lapangan terbang. Malah, kebiasaannya lapangan terbang utama sesebuah negara biasanya akan diuruskan oleh syarikat tempatan kerana ia merupakan pintu masuk utama dan berkait rapat isu keselamatan imigresen.
Perdana Menteri dua kali, Tun Dr Mahathir Mohammad juga menimbulkan kewajaran menjual kepentingan 30% kepada BlackRock. Ini kerana dakwa negarawan itu, Malaysia Airports Holdings (MAHB) mencapai keuntungan yang sangat tinggi iaitu RM543 juta pada tahun lepas.
“Apabila saya mendengar bahawa MAHB akan menjual sahamnya, saya menganggap MAHB mengalami kerugian. Mengapa menjual 30 peratus kepada syarikat Amerika yang menyokong Israel? (padahal mencapai keuntungan)”, ujar beliau.
Mengulas lanjut, Tun Dr Mahathir mendakwa keputusan yang dibuat oleh pengurusan MAHB itu mungkin mempunyai agenda tersembunyi yang tidak diketahui umum.
Tindakan Anwar mempertahankan pembelian kepentingan itu oleh BlackRock merupakan tindakan yang sama seperti sebelum ini, di mana pada awal Mei lalu Anwar mempertahankan penyertaan syarikat pertahanan yang mempunyai hubungan rapat dengan tentera Israel pada pameran pertahanan di Kuala Lumpur, walaupun dibantah oleh kumpulan pro-Palestine.
Anwar berkata pada masa itu bahawa ini tidak menjadi masalah selagi syarikat itu tidak didaftarkan di Israel.
Isu BlackRock telah muncul sebagai salah satu cabaran terbesar Anwar sejak pelantikannya ke Perdana Menteri, yang berlatarbelakangkan dakwaan bahawa beliau lebih mesra dengan AS dan Israel, dengan pengkritik memetik kenyataan lepas termasuk wawancaranya dengan Wall Street Journal pada 2012 yang memetik beliau sebagai berkata bahawa beliau akan “menyokong semua usaha untuk melindungi keselamatan negara Israel”.
Satu lagi cabaran Anwar selepas diesel, iaitu BlackRock (berita-tular.com)
Peranan BlackRock diketahui dunia dalam mengukuhkan ekonomi Israel serta pelaburan besarnya dalam industri senjata AS telah menjadikannya sasaran penunjuk perasaan pro-Palestin yang menuduh syarikat itu mendapat keuntungan daripada pembunuhan beramai-ramai.
Di bawah perjanjian pembelian kepentingan dalam MAHB, GIP (anak syarikat BlackRock) akan mengambil 30% kepentingan dalam konsortium untuk menguruskan MAHB, bersama cabang pelaburan kerajaan Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kedua-dua entiti di bawah bidang kuasa kementerian kewangan yang diketuai oleh Anwar.
BlackRock juga merupakan pemilik kepada firma pertahanan yang berpangkalan di AS, Lockheed Martin. Di laman web syarikat itu tertera bahawa ia “berbangga dengan peranan penting yang telah dilaksanakannya dalam keselamatan negara Israel”.
Lockheed Martin adalah antara syarikat pertahanan AS yang mempunyai pelaburan terbesar dan banyak perjanjian dengan syarikat pertahanan Israel.