Putrajaya 12 Jun : Negarawan Tun Dr Mahathir Mohammad hari ini mengingatkan rakyat berkenaan sejarah Malayan Union di dalam ciapan beliau di media sosial X.
Tun Mahathir berkata jika tidak kerana rakyat Melayu bersatu padu menentang Malayan Union melalui pertubuhan UMNO (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu), raja-raja Melayu hanya akan menjaga pentadbiran agama Islam dan adat istiadat Melayu sahaja.
Menurutnya lagi, Johor adalah negeri pertama yang bersetuju dengan syarat itu. Ia merupakan Perjanjian MacMichael yang menyerah Johor kepada British.
Oleh kerana orang Melayu di seluruh Semenanjung Tanah Melayu bergabung dan membantah serta menolak perjanjian MacMichael dan Malayan Union, maka semua negeri-negeri bergabung British terpaksa tunduk kepada tuntutan mereka.
Perdana Menteri sebanyak dua kali itu mengingatkan bahawa orang-orang Melayulah yang menyelamatkan negara ini dengan terdirinya Persekutuan Tanah Melayu dan menghalang penubuhan Malayan Union.
Maka secara tidak langsung Raja-Raja Melayu pun dikembalikan sebagai Raja Berperlembagaan (Constitutional Monarchy) dalam negara yang mengamalkan Demokrasi Berparlimen.
Tun Dr Mahathir berkata fakta sejarah ini semua boleh dirujuk dengan jelas di verbatim report berkenaan Malayan Union keluaran British Archives.
Peringatan negarawan ini susulan kenyataan yang dikeluarkan oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mahu sistem persekutuan diubah, mahu Johor dianggap sama sebagai ‘rakan kongsi’ – bukan milik Malaysia dan menuntut cukai negeri diberikan 30% semula kepada negeri itu.
Kenyataan pemangku sultan itu telah menimbulkan pelbagai reaksi negatif daripada masyarakat.