PUTRAJAYA: Kerajaan akan menguatkuasakan caj jalan dan permit masuk kenderaan (VEP) bagi kenderaan berdaftar asing yang masuk dari kedua-dua pintu masuk Singapura dan Thailand, kata menteri pengangkutan Loke Siew Fook.
Loke berkata ia akan dilaksanakan dalam dua fasa berasingan di pintu masuk Singapura (Fasa Satu) dan Thailand (Fasa Dua).
“Di Singapura, kenderaan yang masuk melalui kompleks kastam, imigresen dan kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar dan CIQ Sultan Abu Bakar akan dikenakan penguatkuasaan ini mulai 1 Okt,” katanya kepada pemberita pada sidang media hari ini.
Caj yang dikenakan adalah RM20 bagi setiap kenderaan asing.
Beliau berkata kerajaan akan menanggung kos membangunkan dua sistem itu di sempadannya dengan Singapura – dianggarkan RM150 juta.
Bagi pelaksanaan dengan Thailand, kementerian pengangkutan mempelawa pihak yang berminat untuk membangunkan dan mengendalikan sistem di semua lapan pintu masuk di sepanjang sempadan bagi pihak jabatan pengangkutan jalan.
“Mereka akan menanggung kosnya. Mereka boleh mengemukakan cadangan mengenai model perniagaan mereka, yang akan kami pertimbangkan,” kata Loke tanpa mendedahkan bila fasa kedua di Thailand akan dikuatkuasakan.
Seperti yang termaktub di bawah Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987, pemilik kenderaan asing yang tidak berdaftar akan didenda sehingga RM2,000, atau penjara sehingga enam bulan.
“Dengan VEP, kita boleh mengesan semua kenderaan asing yang masuk (negara). Dan apabila mereka pergi, apa-apa denda terhadap kenderaan itu perlu diselesaikan (sebelum mereka dibenarkan keluar),” kata Loke, sambil menambah ini akan memastikan pematuhan jalan raya.