PETALING JAYA: Cabaran terbesar Perikatan Nasional (PN) jika mereka berhasrat untuk menjadi kerajaan persekutuan ialah ketiadaan undi bukan Melayu yang signifikan. Faktor PAS semata-mata bahawa orang bukan Melayu tidak mahu mengundi PN adalah kurang tepat kerana PAS pernah duduk berjuang dengan DAP semasa Pakatan Rakyat (PR) dahulu, dan PAS menerima majoriti sokongan kaum bukan Melayu.
Oleh itu, cadangan daripada Majlis Pimpinan Tertinggi Datuk Seri Azmin Ali supaya komponen bukan Melayu PN berusaha untuk membentuk kerjasama dengan MCA harus dilihat dari sudut positif untuk mendapat sokongan kaum Cina dalam tempoh yang singkat. Walaupun MCA ditolak oleh masyarakat Cina pada PRU15 yang lalu, tetapi parti itu telah berdekad bertapak serta mempunyai jentera, keupayaan material serta pengundi lama yang tetap.
Ketua penerangan sayap bersekutu Bersatu R Sri Sanjeevan berkata sayapnya berumur kurang daripada tiga tahun, manakala Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) baru berada di PN lebih sebulan.
(Sri Sanjeevan – Saya Bersekutu Bersatu)
Beliau juga berkata beliau tidak ada halangan untuk bekerjasama dengan MCA, yang mempunyai asas sokongan, akar umbi dan jentera yang kukuh untuk menarik sokongan bukan Melayu.
Di dalam PN, parti bukan Melayu yang membentuk gabungan itu ialah Gerakan. Gerakan juga merupakan serpihan dari Barisan Nasional (BN) dan telah lama di persada politik tanahair. Tetapi selepas tumbangnya pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang BN kepada Pakatan Rakyat dengan DAP menang 19 kerusi DUN , PKR (9) dan PAS (1) dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 2008, parti Gerakan terus ‘berkubur’. Namun ia muncul kembali selepas menyertai PN sewaktu 22 bulan gabungan itu mentadbir kerajaan persekutuan.
Saranan bahawa kerjasama itu perlu kerana komponen bukan Melayu PN kurang berkesan dicadangkan oleh penganalisis Universiti Kebangsaan Malaysia Kartini Aboo Talib.
Komen Kartini dibuat selepas Azmin berkata gabungan itu sedang mengkaji beberapa strategi untuk menarik sokongan bukan Melayu, termasuk kemungkinan bekerjasama dengan MCA.
Azmin, ketua pembangkang DUN Selangor berkata pakatan sebegitu tidak mustahil, memandangkan parti komponen Barisan Nasional (BN) nampaknya telah diketepikan oleh tumpuan jelas kerajaan perpaduan terhadap DAP.
Bagaimanapun, ketua penerangan Pemuda MCA Neow Choo Seong berkata parti itu berhasrat untuk kekal dalam BN, dan tidak terfikir untuk membentuk pakatan politik baharu, termasuk dengan PN.
Sementara itu, timbalan presiden MIPP S Subramaniam mendakwa PN telah menyaksikan peningkatan dalam sokongan bukan Melayu – terutamanya dalam kalangan pengundi India – antara pilihan raya umum ke-15 pada 2022 dan pilihan raya kecil Kuala Kubu Baharu awal bulan ini.
Beliau berkata sokongan pengundi India PN berada di bawah 5% pada PRU15, tetapi meningkat kepada 21% pada pilihan raya negeri Ogos lalu, dengan Selangor sahaja mencatatkan 14%.
“Semasa PRK Kuala Kubu Baharu, sokongan kaum India terhadap PN meningkat kepada 30%.
“Adakah ini bermakna MIPP kekurangan gigitan sebagai parti komponen? Walaupun kami baru menyertai PN, kami telah berjaya meraih sokongan kaum India yang besar,” katanya.