HULU SELANGOR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor disifatkan sebagai parti yang meminggirkan pemimpin-pemimpin awal yang membantu berkembang sejak awal penubuhannya di negeri tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, beliau kecewa dengan Bersatu khususnya Bersatu Selangor yang mempinggirkannya selepas sembilan tahun mencurah bakti bersama parti tersebut.
“Saya bersusah payah untuk Bersatu di Selangor, guna tenaga dan kewangan sendiri untuk kuatkan parti dan sampai mereka kuat buat masa sekarang.
“Di saat saya sudah membina ‘rumah’ yang kuat dan utuh, tiba-tiba datang orang luar dan halau saya dari rumah saya sendiri,” katanya ketika ditemui pemberit, malam tadi.
Terdahulu, media melaporkan, Abdul Rashid yang juga bekas Ketua Badan Pimpinan Bersatu Selangor itu mengisytiharkan sokongan kepada kepimpinan Menteri Besar Selangor, Amirudin.
Abdul Rashid menjadi pemimpin ketujuh Bersatu yang mengisytiharkan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan selepas enam ahli parlimen parti tersebut turut mengambil tindakan yang sama.
Enam pemimpin tersebut adalah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).
Mengulas lanjut, Abdul Rashid berkata, keputusan yang dibuat beliau itu adalah demi kebaikan rakyat kerana sebelum ini pelbagai peruntukan yang dimohon kepada kerajaan negeri tidak dipeduli kerana beliau berada di dalam blok pembangkang sebelum ini.
Katanya, terdapat pelaksanaan untuk pembangunan di kawasan Selat Klang dilakukan selepas beliau mengumumkan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan.
“Bila saya sokong kerajaan, kerajaan ambil perhatian dan buat pelaksanaan untuk pembangunan di kawasan saya. Keputusan ini adalah untuk rakyat Selat Klang menikmati kesejahteraan dan kebahagiaan daripada bantuan kerajaan Selangor.
“Penduduk di kawasan saya hampir setengah juta dengan peruntukan RM150,000 ketika menjadi pembangkang, apa saya boleh untuk pembangunan? Selama tiga tahun setengah jadi pembangkang, apa pembangunan saya tidak dapat buat di kawasan saya,” jelasnya.
Foto – UTUSAN / M. FIRDAUS M. JOHARI