KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) akan memberi tumpuan kepada pelaburan dalam syarikat pemula niaga tempatan dalam usaha menyokong ke arah perkembangan perniagaan kumpulan berkenaan ke peringkat seterusnya.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Nik Amlizan Mohamed berkata, jika sebelum ini KWAP hanya fokus dalam pasaran awam, peralihan kepada pelaburan dalam syarikat pemula niaga dilihat perkara yang perlu bersandarkan kepada enam tonggak asas.
“Di antara enam tonggak ini adalah membabitkan teknologi kewangan (FinTech); pendidikan, teknologi dan ekonomi digital,” katanya ketika menjadi panelis From Malaysia to the World: Open for Tech Business bersempena KL20 di sini, hari ini.
Panelis terlibat antaranya, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal dan Rakan Kongsi Pengurusan K3 Ventures, MX Kuok.
Jelas Nik Amlizan, KWAP akan terus menyokong syarikat pemula niaga di peringkat awal supaya ia dapat beralih ke peringkat seterusnya dan mungkin menjadi syarikat senaraian awam.
Beliau berkata, melihat peralihan kepada pelaburan dalam syarikat ini bersandarkan isu legasi di mana syarikat ini tidak mempunyai isu sedemikian yang dihadapi syarikat sedia ada.
“Syarikat pemula niaga memerlukan peruntukan yang banyak untuk berkembang,” katanya.
Nik Amlizan menjelaskan, syarikat pemula niaga tidak memiliki perbelanjaan yang cukup dalam aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D).
“Kami melihat peluang lebih luas dalam pasaran swasta dan pelaburan dalam syarikat pemula niaga sebagai tumpuan seterusnya dalam pelaburan KWAP,” katanya.
Sumber – UTUSAN