KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) membeli tambahan empat juta saham dalam pengeluar tenusu tempatan, Farm Fresh Bhd, sekali gus meningkatkan pegangannya kepada 5.07 peratus.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Farm Fresh berkata KWAP membeli blok saham itu, yang bersamaan dengan pegangan 0.21 peratus, kelmarin.
Pembelian saham terkini itu mendorong pegangan saham dana persaraan terbabit melebihi ambang lima peratus yang diperlukan untuk dianggap sebagai pemegang saham yang besar.
Pegangan saham semasa KWAP sebanyak 5.07 peratus itu terdiri daripada 2.45 peratus pegangan langsung dan 2.62 peratus pegangan tidak langsung.
KWAP kini merupakan pemegang saham keenam terbesar Farm Fresh, di belakang Rainforest Capital Sdn Bhd dengan 30.5 peratus kepentingan, FarmChoice Foods Sdn Bhd (11.87 peratus), Agrifood Resources Holdings Sdn Bhd (11.71 peratus), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) (8.97 peratus), dan Abrdn plc (6.63 peratus).
Pengasas Bersama, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Farm, Fresh Loi Tuan Ee dan keluarganya adalah pemegang saham Rainforest dan FarmChoice.
Saham Farm Fresh ditutup tidak berubah pada RM1.47 hari ini, memberikan syarikat itu permodalan pasaran RM2.75 bilion.
Saham Farm Fresh telah meningkat 10.53 peratus setakat tahun ini.