LONDON, 21 Jan — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menekankan “defisit kepercayaan” antara dunia Barat dan negara-negara ekonomi sedang pesat membangun, atau Asia Tenggara, disebabkan sikap hipokrit Barat sendiri dalam perkara geopolitik tertentu.
Dalam temu bual dengan Financial Times yang berpangkalan di UK, beliau menunjuk kepada sokongan dunia Barat terhadap serangan tentera Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza.
“Terdapat defisit kepercayaan dalam kalangan (negara-negara) ekonomi sedang pesat membangun kerana kuasa besar tidak mematuhi peraturan undang-undang asas antarabangsa,” katanya..
Begitu juga di Asia Tenggara, Anwar berkata Barat telah bercakap besar tentang demokrasi dan reformasi tetapi tidak melakukan apa-apa untuk membantu.
“Tiada apa-apa yang dilakukan untuk membantu [rantau ini]. Hanya ada penglibatan dalam perdagangan dan pelaburan,” tambahnya.
Anwar berkata bahawa Amerika Syarikat telah kehilangan tempat di rantau ini berbanding China, menunjukkan bahawa pandangan AS mungkin telah beralih ke Eropah kerana pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.
“Kami mempunyai hubungan dengan baik dengan AS tetapi ia tidak melibatkan rantau ini secara aktif seperti yang dilakukan pada masa lalu. China dalam erti kata itu mengambil sikap yang lebih positif,” katanya dilaporkan sambil menunjuk pegawai kanan China yang melawat Malaysia sejak kebelakangan ini.
“Mereka memberikan akses yang lebih baik, anda boleh bertemu dengan mereka dengan mudah. Kami hantar menteri ke sana, mereka hantar menteri.”
Walaupun begitu, Anwar berkata AS masih menjadi pelabur yang dihargai di Malaysia, terutamanya dalam industri semikonduktor.
“Adalah lebih baik bagi ekonomi yang lebih kecil seperti Malaysia untuk merapatkan [hubungannya] dengan China,” katanya lagi.
“Satu-satunya isu yang dipertikaikan ialah Laut China Selatan [di mana China mempunyai tuntutan wilayah yang bercanggah dengan beberapa negara anggota Asean] di mana kita berunding dengan baik dan mengambil kedudukan yang kukuh.”
Anwar juga berkata Malaysia sebagai Pengerusi, Asean tidak semestinya perlu berkonfrontasi dengan China — kerana blok itu memerlukan kuasa besar itu sebagai sekutu.
“Kenapa kita perlu bermusuh? Kami tidak bersetuju dengan banyak isu dasar luar dengan AS tetapi kami (juga) mahu mereka menjadi sekutu penting.
“Begitu juga dengan China, saya tidak fikir ia adalah satu perkara yang bijak untuk menentang jiran yang kuat dan besar,” katanya dilaporkan berkata.