PETALING JAYA: Pekerja asing di negara ini dianggarkan membawa keluar wang mencecah sehingga RM70 bilion setahun.
Jumlah itu dijangka terus meningkat pada tahun ini ekoran peningkatan gaji minimum.
Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata, dengan jumlah pekerja asing di Malaysia yang ketika ini mencecah hampir 2.5 juta, angka berkenaan secara tidak langsung menjadi beban kepada ekonomi negara.
“Sebelum ini, Bank Negara Malaysia (BNM) pernah menyatakan pengaliran wang tunai kira-kira RM34 bilion setahun. Bagaimanapun jika diambil kira daripada saluran tidak rasmi sebagai contoh menerusi rakan atau ahli keluarga, aliran wang keluar itu boleh mencecah RM70 bilion setahun.
“Bagi setiap tambahan RM100 kepada gaji pekerja asing sebulan, aliran wang keluar akan meningkat kepada RM4 bilion setahun,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Sehingga kini, sebanyak 2,438,468 pekerja asing berdaftar di Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), manakala sebanyak 41,073 ialah pendatang asing tanpa izin (PATI) ditangkap pada tahun lalu.
Pekerja asing berdaftar di negara ini bekerja dalam tujuh sektor utama iaitu perkilangan, pembinaan, perkhidmatan, perladangan, pertanian, pembantu rumah serta perlombongan dan pengkuarian.
Dalam pembentangan Belanjawan 2025, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan bercadang mewajibkan semua pekerja bukan warganegara untuk mencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam dana persaraan sektor swasta dan akan dilaksanakan secara berfasa.
Dalam pada itu, Shamsuddin berkata, beliau percaya hampir 50 peratus daripada pekerja asing mengirim wang ke negara masing-masing menerusi kaedah tidak sah termasuk menggunakan ejen yang tidak berdaftar.
Kata beliau, lambakan pekerja asing di negara ini turut memberi impak kepada ekonomi disebabkan pengaliran wang yang keluar.
“Jumlah yang dicatatkan secara rasmi iaitu RM34 bilion tidak termasuk pekerja asing yang masuk secara haram ke negara ini.
“Jika jumlah sebanyak itu (RM70 bilion) kekal mengalir dalam Malaysia, ia boleh meningkatkn banyak sektor ekonomi tempatan,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata, aliran keluar wang tunai oleh warga asing akan memberi isyarat kepada pendatang asing tanpa izin untuk melihat Malaysia sebagai destinasi bagi pencarian kerja secara tidak sah.
Katanya, aliran keluar wang yang besar ini boleh menjejaskan kestabilan kadar pertukaran mata wang asing negara.
“Permintaan terhadap mata wang asing seperti rupiah, rupee atau taka meningkat apabila penghantaran wang berlaku dalam jumlah besar yang secara tidak langsung boleh memberi tekanan kepada nilai ringgit (RM).
“Ketiadaan caruman KWSP daripada warga asing turut memberi impak negatif kepada pelaburan kerana caruman ini sepatutnya dapat dimanfaatkan untuk menjana pulangan pelaburan, sekali gus meningkatkan dividen kepada pencarum,” katanya.
Bashir Ahmad berkata, aliran keluar wang dalam jumlah besar mengurangkan perbelanjaan domestik yang sepatutnya mampu merangsang urus niaga dalam negara.
“Ini memberi kesan negatif kepada nilai pengganda ekonomi termasuk penawaran dan permintaan tempatan,” katanya.
Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Mustazar Mansur pula berkata, aliran keluar wang oleh pekerja asing memberi kesan negatif kepada ekonomi negara terutama melalui konsep kebocoran ekonomi.
Beliau berkata, dalam konteks ekonomi, kebocoran berlaku apabila wang yang diperoleh tidak digunakan dalam perbelanjaan domestik tetapi dihantar ke luar negara, sekali gus tidak menyumbang kepada penggandaan aktiviti ekonomi dalam negara.
“Jika pekerja asing membelanjakan lebih banyak wang mereka di dalam negara, ia boleh merangsang kitaran ekonomi melalui peningkatan permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan tempatan.
“Bagaimanapun, ramai pekerja asing menghantar sebahagian besar pendapatan mereka ke negara asal dengan hidup secara berjimat di Malaysia,” katanya.
Mustazar berkata, dari sudut pengambilan pekerja asing, majikan cenderung mengambil mereka kerana kadar gaji lebih rendah dan tahap produktiviti yang tinggi.
Namun, katanya, pergantungan terhadap pekerja asing menimbulkan cabaran dari segi kestabilan ekonomi terutama apabila wang yang dihantar keluar memberi tekanan kepada nilai mata wang tempatan.
Sumber : Utusan