KUALA LUMPUR: Ada peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang kini sudah mencapai usia 60 tahun masih belum selesai membayar balik pinjaman yang diberikan.
Perkara itu didedahkan Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim, ketika mengulas tahap kesedaran peminjam tabung pendidikan itu dalam menunaikan tanggungjawab melunaskan hutang pinjaman.
“Tidak wajar pada usia sedemikian, masih ada yang belum menjelaskan bayaran hutang pinjaman,” katanya dalam temu bual eksklusif yang dipetik dari Berita Harian.
Beliau menegaskan, kesedaran peminjam untuk membayar balik pinjaman amat penting kerana PTPTN memerlukan sekitar RM3 bilion bagi membiayai kos pendidikan tinggi 450,000 peminjam sedia ada dan purata 150,000 peminjam baharu setiap tahun.
“PTPTN perlu terus mempunyai dana mencukupi untuk memenuhi tuntutan itu setiap tahun,” katanya memaklumkan antara cabaran besar dihadapi pihaknya adalah memperoleh semula dana yang dikeluarkan sebagai pinjaman pendidikan.
Katanya, lebih 430,000 peminjam tidak pernah membuat sebarang bayaran balik pinjaman walaupun sekali, membabitkan hutang tertunggak RM5.46 bilion, iaitu sebahagian daripada keseluruhan tunggakan RM11.32 bilion yang membabitkan lebih 1.25 juta peminjam sehingga September lalu.
“Jika dalam tempoh dua atau mungkin lima tahun anda tidak bekerja yang menyebabkan anda tidak dapat membuat bayaran balik, itu masih boleh diterima, namun kalau sudah melebihi 10 tahun?,” kata Norliza.
Tanggungjawab membayar balik pinjaman, tegasnya, penting demi kelangsungan PTPTN untuk terus membantu pelajar memerlukan kerana jika dana tidak mencukupi, ia menjejaskan kelangsungan tabung pendidikan tinggi yang amat diperlukan untuk membantu pelajar generasi akan datang.
Kajian mendalam PTPTN
Mengenai langkah diambil bagi menangani isu berkenaan daripada berterusan, beliau berkata, PTPTN menjalankan kajian mendalam untuk mengenal pasti punca utama peminjam tidak membuat bayaran balik.
Hasil kajian, katanya, menunjukkan ada peminjam benar-benar tidak mampu, hilang pekerjaan atau menghadapi masalah kesihatan, namun sebahagian lagi langsung tidak menyedari kepentingan tanggungjawab itu.
“Ada juga sengaja meletakkan bayaran balik pinjaman PTPTN sebagai keutamaan rendah. Ini tidak adil bagi mereka yang bertanggungjawab dan komited buat bayaran balik, ramai berasal daripada keluarga kurang berkemampuan.
“Dana pendidikan ini terancam akibat peminjam lain gagal menunaikan tanggungjawab. Mereka faham peluang melanjutkan pelajaran yang mereka nikmati adalah satu amanah dan tanggungjawab untuk memastikan generasi akan datang turut diberi peluang sama.
“Sebagai sebuah masyarakat, kita perlu menghargai sistem yang telah membantu jutaan rakyat mencapai impian pendidikan tinggi mereka dan berusaha memastikan kelangsungannya,” katanya.
Tambahnya, pelbagai cara dilakukan PTPTN untuk menghubungi peminjam bagi memastikan mereka melunaskan pinjaman, termasuk menghantar makluman tunggakan dan notis peringatan melalui kaedah e-mel, panggilan telefon serta aplikasi myPTPTN.
“Kita memudah cara mereka berurusan dengan kita dan kempen kesedaran sentiasa kita jalankan bagi memberi kesedaran kepada peminjam mengenai tanggungjawab mereka membayar balik pinjaman,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, PTPTN turut menekankan pendekatan empati kepada peminjam dengan mengambil kira masalah ekonomi yang mungkin dihadapi mereka, bukannya drastik meminta bayaran.
“Kita benar-benar mahu mereka tampil kerana kita ingin bantu dan pada masa sama, mereka perlu menunaikan tanggungjawab membayar balik. Jadi, kepada semua peminjam, berunding dan berbincang kerana kita buka laluan untuk mereka tampil.
“Ada yang apabila dihubungi PTPTN, mereka jadi takut. Jangan takut, kita sedia membantu semua peminjam dengan cara yang berhemah dan terbaik supaya mereka dapat membayar balik pinjaman,” katanya.
Mengenai langkah lebih tegas jika peminjam masih gagal melunaskan hutang, Norliza berkata, jika perlu, pihaknya mungkin fokus kepada peminjam dengan tunggakan melebihi 10 tahun dan ke atas, yang langsung tidak pernah membuat bayaran.