PETALING JAYA: U Mobile Sdn Bhd tidak bercadang untuk bergantung kepada bantuan kewangan daripada kerajaan atau bekerjasama dengan rakan kongsi tempatan untuk melancarkan rangkaian 5G kedua, kata pengerusinya, Vincent Tan.
Pada taklimat media hari ini, Tan menolak komen penganalisis bahawa U Mobile akan mempunyai masalah untuk melancarkan rangkaian 5G kedua jika tidak menerima bantuan.
Beliau berkata U Mobile merancang untuk melancarkan rangkaian itu dalam tempoh 15 hingga 18 bulan akan datang, lapor The Edge.
“Kenapa kita tidak tunggu sehingga 15 dan 18 bulan dan lihat erti perjuangan? Kami ditawarkan lebih banyak pinjaman daripada yang kami perlukan, dan kami berpengalaman (dalam bidang ini),” katanya.
Ditanya mengenai potensi kerjasama, Tan berkata beliau sedang mencari perkongsian dengan pembekal telekomunikasi China Huawei Technologies Co Ltd dan ZTE Corp.
“Kami tidak memerlukan rakan kongsi tempatan baharu. Huawei dan ZTE adalah yang terbaik dari segi teknologi 5G,” katanya.
“Mereka akan membekalkan peralatan 5G dan menyediakan pembiayaan. Kita perlu mengeluarkan perbelanjaan modal (capital expenditure) kita sendiri bersama-sama dengan pembiayaan daripada bank. Tetapi semuanya masih belum dimuktamadkan.”
Beliau bagaimanapun tidak mahu mengulas mengenai perbelanjaan modal yang diperlukan untuk melancarkan rangkaian 5G kedua.
Pada 10 Jan, RHB Investment Bank Bhd dalam nota penyelidikan berkata U Mobile berkemungkinan menjalin kerjasama rangkaian untuk membayar kos 5G yang dianggarkan RM3 bilion hingga RM4 bilion.
Lima hari kemudian, Hong Leong Investment Bank berkata dalam nota bahawa U Mobile mungkin akan bergelut untuk melancarkan rangkaian 5G kedua, mendorong syarikat itu untuk mempertimbangkan penggabungan.
Kenanga Research mencadangkan bahawa pelancaran 5G U Mobile mungkin menghadapi kelewatan kerana perkongsian belum selesai, pemilihan vendor, pembiayaan dan kerjasama dengan CelcomDigi Bhd atau Maxis Bhd, yang pangkalan pelanggan rapatnya menjadikan kedua-dua pilihan berdaya maju.
Sebelum ini, Tan berkata pintu itu tidak ditutup sepenuhnya, apabila ditanya sama ada akan wujud potensi perkongsian dengan Maxis atau CelcomDigi.
Beliau berkata kemudian bahawa tidak ada perbincangan “tetapi anda tidak akan tahu”.