LONDON: Projek pembangunan bandar baharu Brabazon YTL Group di Bristol yang bernilai RM21.96 bilion merupakan pelaburan terbesar syarikat Malaysia di United Kingdom (UK).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaburan itu membuktikan syarikat dari Malaysia mampu melaksanakan pelbagai projek pembangunan di United Kingdom, selain memperkukuhkan hubungan ekonomi dan perdagangan kedua-dua negara.
“Penyertaan syarikat Malaysia dalam usaha niaga di luar negara dapat memperkukuh hubungan pasaran global dan menyumbang kepada aspirasi negara untuk mengembangkan perdagangan melalui rangka kerja antarabangsa seperti Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).
“Saya memuji usaha YTL dan merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri UK atas kejayaan negara ini menyertai CPTPP. Ini menunjukkan komitmen politik yang kukuh daripada kedua-dua negara untuk menggalakkan perdagangan bebas dan pertumbuhan ekonomi,” katanya semasa berucap merasmikan Pelancaran Pembangunan Bandar Baharu Brabazon YTL Group di Bristol, semalam.
Menurut Anwar, penyertaan kedua-dua negara dalam CPTPP dijangka menjadi pemangkin dan bakal membuka peluang lebih meluas bagi meningkatkan pelaburan dan memudahkan perdagangan.
Malaysia telah meratifikasi CPTPP pada Oktober 2024, manakala UK menyertai secara rasmi pada Disember tahun lepas.
Perjanjian tersebut akan merancakkan lagi aktiviti perdagangan serta mengurangkan tarif kepada sifar bagi produk negara anggota.
Anwar memulakan lawatan kerja di UK dengan mengadakan mesyuarat dua hala bersama rakan sejawatannya, Perdana Menteri Sir Keir Starmer.
Dalam pertemuan tersebut, Anwar menyampaikan penghargaan atas jemputan ke UK yang menjadi peluang penting untuk memperkukuhkan hubungan antara kedua-dua negara yang meliputi pelbagai bidang strategik.
“Kami senada dan sepakat untuk meningkatkan kerjasama strategik yang lebih erat dalam bidang pendidikan, ekonomi, pertahanan, tenaga serta kecerdasan buatan (AI). Kami turut membincangkan usaha penyelesaian terhadap isu Gaza,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Anwar berkata, perkara-perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut akan dibawa ke peringkat menteri masing-masing untuk memastikan pelaksanaan yang lebih teratur dan tersusun.
Beliau berkata, lawatan itu bukan sahaja memperkukuhkan hubungan diplomatik, tetapi juga membuka ruang kepada kerjasama yang lebih luas antara kedua-dua negara.
Sebagai Pengerusi ASEAN, Anwar turut menggunakan peluang itu untuk menyampaikan kesediaan Malaysia menerima lebih ramai pelabur dari UK.
“Memandangkan ini adalah lawatan ke negara Eropah pertama selaku Pengerusi ASEAN, saya menyatakan kesediaan Malaysia untuk menerima lebih ramai pelabur, sekali gus membentuk sinergi ekonomi baharu,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Kumpulan YTL, Tan Sri Sir Francis Yeoh Sock Ping berkata, komitmen syarikatnya untuk melabur sebanyak RM21.96 bilion lagi di UK dalam tempoh lima tahun akan datang.
Katanya, YTL mula melabur di UK pada tahun 2002 dengan pengambilalihan Wessex Water.
Pembangunan Bristol Brabazon yang telah memenangi pelbagai anugerah, dijangka mengubah tapak bersejarah Filton Airfield menjadi sebuah kawasan yang serba lengkap dengan pelbagai kemudahan penting seperti tempat kerja, sekolah, kedai, pengangkutan awam, dan pusat penjagaan kesihatan.
Projek tersebut turut merangkumi pembinaan 6,500 unit rumah lestari, tiga sekolah baharu, dan taman bandar.
Sebelum ini, konsortium syarikat Malaysia iaitu Permodalan Nasional Berhad (PNB), Sime Darby Property, S P Setia dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melabur dalam projek Battersea Power Station bernilai RM49.4 bilion yang dijangka siap sepenuhnya pada 2033.
Projek tersebut ialah pembangunan kawasan kejiranan baharu di tepi sungai seluas 16.99 hektar di tengah kota London.
Sumber – UTUSAN