ANKARA: Kesatuan Eropah (EU) hari ini menyelar tindakan Israel merampas 800 hektar tanah di Lembah Jordan di Tebing Barat yang diduduki.
Menurut blok itu dalam satu kenyataan, EU tegas mengecam pengumuman Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich, bahawa lebih 800 hektar tanah di wilayah Palestin yang diduduki, telah diisytiharkan sebagai tanah Israel, lapor Agensi Anadolu.
EU berkata, ia adalah rampasan terbesar sejak Perjanjian Oslo ditandatangani antara Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dengan Israel pada 1994.
“Penempatan haram merupakan pelanggaran serius terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
“Pada mesyuarat Majlis Eropah, minggu ini, pemimpin EU mengutuk keputusan Kerajaan Israel untuk memperluas penempatan haram di seluruh Tebing Barat yang diduduki, serta meminta Israel membatalkan keputusan itu,” katanya.
Sementara itu, Presiden Palestin turut mengutuk keputusan Kerajaan Israel untuk merampas tanah di Lembah Jordan.
Pertubuhan hak asasi manusia Palestin serta Israel menekankan, berlaku peningkatan ketara dalam aktiviti penempatan haram di Tebing Barat sejak pembentukan kerajaan pimpinan Benjamin Netanyahu pada akhir 2022.
Menurut Suruhanjaya Penentangan Tembok dan Penjajahan, dianggarkan lebih 720,000 warga Israel tinggal di penempatan haram di Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis Timur.
Sumber – Berita Harian