Istana Negara 19 Mac : Yang Di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Ibni Sultan Iskandar hari ini menzahirkan rasa murka baginda apabila isu kalimah Allah sering kali timbul di kalangan rakyat Malaysia yang sudah hidup bersama sekian lama.
Kesilapan isu agama dan kaum tidak boleh dimaafkan lagi menurut baginda.
Yang di-Pertuan Agong juga bertitah, adalah tidak masuk akal sebuah syarikat dengan kakitangannya terdiri daripada warganegara Malaysia tidak peka dengan perkara sedemikian.
Baginda dengan tegas mahu pihak penguatkuasa melakukan siasatan dan ambil tindakan sekeras-kerasnya mengikut lunas undang-undang yang ada supaya perkara itu tidak akan timbul lagi pada masa hadapan.
Awal pagi hari ini, Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail juga mahu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas dan tidak membiarkan perkara ini berlaku lagi berhubung isu penjualan sarung kaki (stokin) yang tertera kalimah Allah di pasaraya KK Mart
Seri Paduka Baginda Sultan Ibrahim pernah bertitah, sewaktu berangkat ke Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 di Parlimen bulan lalu, di mana Baginda mengingatkan semua lapisan masyarakat supaya menjaga keharmonian negara dan tidak memainkan isu sensitif melibatkan agama, kaum dan Raja-Raja.
Justeru, kali ini Seri Paduka Baginda bertitah mahu tindakan sekeras-kerasnya diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah dalam isu ini berdasarkan siasatan pihak berkuasa.
“Kalimah Allah itu dipandang sangat tinggi pada sanubari umat Islam, tambahan pula kita berada di bulan Ramadan. Tidak patutlah timbul perkara yang membangkitkan kemarahan.
“Saya baru sahaja menegur dan mengingatkan akan kepentingan rakyat berbilang bangsa bersatu padu dan menghormati antara satu sama lain dalam titah sulung saya di Parlimen, timbul pula perkara ini”, ujar Baginda.