KUALA LUMPUR 19 Mac – Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris hari ini menuntut penjelasan DAP dan MCA yang dilihat bersuara lantang dalam usaha untuk meredakan isu stoking tertera kalimah Allah.
Beliau menggambarkan masyarakat bukan Islam seolah-olah mahu menutuo akan kesalahan itu, dan menyalahkan orang Melayu kerana lantang mengkritik KK Mart.
“Kenapa DAP, MCA bersuara lantang (untuk menutup isu) ? Ada sesuatu yang hendak dipertahankan atau bimbang kerana boikot?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming menggesa agar Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhammad Akmal Saleh memberhentikan kempen memboikot rangkaian pasar raya KK Super Mart.
Kor Ming menggesa pemimpin muda dari Melaka itu supaya berhenti menghasut sentimen perkauman dan agama berhubung isu berkenaan dengan berkata reaksi Dr Akmal hanya akan memudaratkan UMNO.
Malah Setiausaha Agung MCA, Chong Sin Woon juga turut meminta Dr Akmal tidak memperbesarkan isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah.
Menteri Pelancongan Tiong King Sing juga menyelar sikap yang didakwa keterlaluan oleh Pemuda UMNO dalam isu KK Mart.
Dalam pada itu, Razali pula menggesa agar semua rakyat Malaysia menghormati dan memahami pelbagai budaya dan keagamaan.
“Umat Islam di negara ini tidak pernah berdiam diri apatah lagi ada pihak memperlekehkan Islam dalam apa cara sekali pun,” tegasnya.
Tular sebelum ini penjualan stoking yang tertera kalimah Allah di media sosial oleh pasaraya KK Mart.
Tindakan KK Mart menjual stoking bercetak kalimah “Allah” dalam tulisan Arab dan Rumi mencetuskan kegelisahan dan kemarahan penganut Islam.
Tindakan itu disifatkan sebagai biadab dan merupakan siri berterusan menghina agama Islam.
Pengurusan KK Mart tiga hari lalu memohon maaf dengan Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulannya, Datuk Seri Dr KK Chai menyatakan beliau sendiri tidak boleh terima penjualan stoking terdapat kalimah Allah.
Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Hari ini juga bertitah supaya tindakan tegas diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab dalam isu ini supaya menjadi pengajaran di masa hadapan.