Kuala Lumpur 5 Mac : Kerajaan disarankan supaya tidak terlalu bersikap ‘menekan’ atau oppressor dan patut terbuka menerima kritikan, menurut Zaid Ibrahim yang merupakan seorang peguam dan bekas menteri.
Beliau berkata demikian dalam ulasan berkenaan ahli parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan yang diberikan tempoh seminggu oleh SPRM bagi membuat laporan sogokan.
Zaid berkata sepatutnya kerajaan Madani akan lebih bertolak ansur daripada kerajaan terdahulu kerana dipimpin oleh seseorang yang pernah “ditindas”, yang merujuk kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Terdapat usul tular untuk menggantung Wan Saiful selama enam bulan dari parlimen kerana mengkritik perdana menteri dengan keterlaluan. Kerajaan Madani ini akan membentangkan usul untuk menggantung Ahli Parlimen dari Bersatu itu kerana memanggil Perdana Menteri seorang yang perasuah ‘yang bertemu Yang Dipertuan Agong’.
Namun menurut Zaid, kerajaan mesti bersikap terbuka kerana Wan Saiful ialah ahli parlimen pembangkang. “
“Dia, seperti orang lain sebelum dia, selalu menggelar Perdana Menteri sebagai perasuah. Ramai yang menganggap Dr M (Tun Dr Mahathir) korup dalam 22 tahun pemerintahannya, tetapi tiada seorang pun daripada mereka digantung selama enam bulan (jika Wan Saiful patut digantung), jika ada, kerana penggunaan bahasa yang tidak berparlimen”, kata Zaid yang pernah menjadi menteri di Jabatan Perdana Menteri era Tun Dr Mahathir Mohammad.
Zaid juga berkata jangan membazir wang pembayar cukai lebih satu bilion ringgit bagi mengadakan pilihanraya, tetapi menggantung ahli parlimen untuk tempoh yang lama. “Mungkin gantung Wan Saiful seminggu”, saran Zaid.
Lain pandangan yang diberikan oleh aktivis masyarakat dan pemerhati politik, Datuk Saari Abdul, 58, sejak tumbangnya kerajaan Barisan Nasional (BN) selepas PRU14 lalu, suhu politik tidak pernah surut.
Menurutnya, setiap warganegara dan masyarakat antarabangsa melihat tindak-tanduk ahli politik negara.
”Ini adalah salah satu faktor kestabilan ekonomi dan pengukuhan kewangan nilai ringgit. Jika serangan pihak pembangkang keterlaluan, ia akan menimbulkan perasaan takut dan was-was kepada kerajaan, sekaligus menggagalkan sebarang usaha pemulihan kepada negara di mana kesannya kepada rakyat”, katanya.
Saari berkata Malaysia perlukan pembangkang yang membina bukan berpolitik keterlaluan sepanjang masa.