spot_img
spot_img

RM1.7 trilion bantuan kepada usahawan bumiputera 25 tahun ini. Siapa yang dapat manfaat sebenarnya ?

spot_img

TIDAK sangka dalam tempoh 25 tahun ini sebanyak RM1.7 trilion nilai projek atau kontrak telah dianugerahkan kepada usahawan atau ahli perniagaan bumiputera.

Cuma kita tidak tahu daripada jumlah itu berapa banyak yang betul-betul dinikmati oleh usahawan, dan berapa banyak pula yang tiris keluar kepada pihak lain.

Semalam di Kongres Ekonomi Bumiputera, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyifatkan pihak yang mendapat manfaat daripada ketirisan akibat budaya ali baba ini adalah ejen kepada entiti bumiputera.

- Advertisement -

Ali baba ini adalah barah dalam ekonomi bumiputera. Ini kerana mereka tidak mempunyai kepakaran di dalam sesuatu bidang. Hanya menjadi orang tengah untuk memastikan sesuatu projek itu mereka miliki melalui perhubungan politik.

Namun jika dilihat, ia tidaklah begitu menjadi kesalahan, cuma janganlah terlalu tinggi nilai ejen itu kerana ia akan memberi kesan kepada prestasi projek. Serta menjadi masalah lebih besar ialah ada banyak lagi ‘pembahagian-pembahagian’ yang perlu syarikat tunaikan jika mendapat projek atau dana. Ia menjadi masalah kepada perniagaan kerana peratusan tinggi dana yang disalurkan dan diperuntukan mengalir ke poket orang lain atau hanya masuk ke saku orang sama.

Ironinya, dalam setiap perhimpunan atau perkumpulan yang membabitkan golongan bumiputera mereka tidak habis-habis dengan desakan dan rungutan kononnya nasib mereka tidak dibela, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak membantu, polisi kerajaan yang tidak elok dan sebagainya.

- Advertisement -

Kadang-kadang ada syarikat yang tidak mempunyai kepakaran, tetapi mereka adalah ‘sesiapa’ kepada menteri itu dan ini, mereka diberi projek dengan pembayaran awal lagi. Akhirnya projek tidak berjaya. Lihat sahaja projek seperti LCS Kapal Perang Bousted. Projek Lembu NFC. Bermasalah hingga hari ini. Lihat sahaja taman tema di Perak yang kerajaan negeri jamin hingga beratus juta, akhirnya bankrap dan insitusi kewangan kerajaan yang memberi dana itu tidak boleh atau sukar untuk mengutip hutang ratusan juta itu semula.

Ini semua kerana memberi kepada syarikat yang tidak pernah ada kepakaran di dalam bidangnya. Hanya nampak wang mudah dalam masa singkat . Inilah dinamakan broker atau alibaba. Scam dana kerajaan dalam istilah mudah. Dapat 10 atau 20 peratus daripada nilai projek sudah memadai. Nilai projek mesti di mark up beratus kali ganda. Itulah modus operandinya.

Akhirnya syarikat bumiputera yang berkelayakan dilihat sebagai tidak kompeten, tidak ada kredibiliti, tiada keupayaan dan hanya menjadi bahan jenaka. Berlari ke hulu ke hilir untuk mencari projek dan membuktikan mereka mampu, tetapi akibat tiada perhubungan politik yang kuat, maka mereka tetap menjadi syarikat ‘kelas bawahan’.

Pada hal terdapat banyak lagi usahawan bumiputera yang layak, mahir, berkaliber dan berdaya maju yang sepatutnya diberikan kontrak tersebut. Tetapi biasanya mereka ini tidak mahir pula dengan ‘politik’ atau kurang bercampur untuk entertain pembuat keputusan dalam kerajaan.

Perkara ini bukan baru, tetapi telah diketahui umum. Namun tetap orang yang sama atau syarikat yang sama diberikan projek dan kontrak kerana huhungan yang baik dengan mereka yang berkuasa.

Pembuat keputusan untuk menganugerahkan projek-projek ini (sebahagiannya adalah pemimpin politik) harus peka dan memberi peluang sama rata berdasarkan kebolehan syarikat bumiputera.

Ini seolah-olah tidak kisah imej usahawan bumiputera dipersendakan jika syarikat yang diberi kontrak tidak berjaya menyiapkan. Yang penting terima habuan. Sebab itu, usahawan bumiputera yang tulen terus dipinggirkan.

“Dasar dan polisi kerajaan dalam memajukan industri termasuk memastikan pembabitan bumiputera cukup jelas. Cuma pelaksanaannya yang kadang-kadang ada sedikit kepincangan hingga menyebabkan usahawan tulen terpinggir”, kata Ketua Pegawai Eksekutif BestPay Solution Razrul Anwar Rusli.

Razrul kesal, apabila syarikat-syarikat bumiputera berjaya diberikan projek dan dana lalu dialibabakan dan projek gagal, tempiasnya turut terkena kepada mereka yang bekerja keras.

“Cara mereka bekerja dan berusaha mendapatkan projek adalah dikagumi dan saya puji, tetapi malangnya matlamat mereka bukan untuk menyempurnakan projek tetapi sebenarnya adalah untuk mendapat dana dengan mudah, ini merugikan”, katanya lagi.

Dalam projek berskala besar misalnya, tidakkah agensi-agensi terbabit atau pemimpin yang terlibat melihat akan kegagalan beberapa syarikat yang diberikan mandat untuk melaksanakan?

Ada yang sudah diberikan lanjutan tarikh akhir sebanyak empat kali, dikecualikan daripada denda kelewatan dan sebagainya, tetapi masih juga gagal disiapkan. Tidakkah ini cukup untuk membuka mata bahawa memberikan kontrak dan projek kepada usahawan tulen itu adalah kriteria utama?

Sikap ahli-ahli politik yang terlalu menggunakan peruntukan atau kuota bumiputera untuk kekal berkuasa juga menyumbangkan kepada berleluasanya kes-kes ali baba kerana yang mendapat laba adalah mereka yang berjawatan dalam politik. “Duit atas angin percuma” mereka menggelarkannya.

Veteran politik, Tan Sri Syed Hamid Albar yang dipetik dari Utusan Malaysia mengakui perkara ini berlaku iaitu menjadi amalan para pemimpin menggunakan kuota dan peruntukan bumiputera sebagai anugerah politik demi mengekalkan kuasa mereka.

Hasilnya, kontrak dan projek terlepas ke tangan mereka yang tidak ada keupayaan dan kepakaran, lalu diberikan kepada pihak ketiga yang menjadi ejen pelaksana dengan mereka hanya hidup dengan memakan komisen.

Ini budaya yang perlu dihapus dan dilenyapkan. Ia bukan sahaja memberikan imej dan persepsi buruk kepada usahawan bumiputera, tetapi menafikan hak mereka yang layak dan bekerja keras untuk berjaya.

Para pemimpin yang terlibat dan bertanggungjawab dalam melaksana dan mengagihkan kuota bumiputera ini perlu berubah. Mereka perlu menjadi lebih bertanggungjawab supaya usahawan bumiputera tulen diiktiraf dan budaya ali baba dilenyapkan.

What’s your Reaction?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img