Parlimen 28 Februari : Ahli parlimen Tasek Gelugor (PN) Datuk Wan Saiful Wan Jan hari ini mendedahkan bahawa beliau telah didekati dan diajak untuk memberi sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau mendakwa telah menerima panggilan berturut-turut dari individu yang tidak dikenali, dan akhirnya bersetuju untuk berjumpa kerana beliau bimbang dengan mereka yang mempunyai ‘kuasa’, yang boleh dilakukan terhadap dirinya.
Wan Saiful menyebut dengan terperinci akan setiap pertemuan berkenaan termasuk tarikh dan lokasi pertemuan.
Pertemuan pertama bermula pada 17 Januari 2024 di Hotel Westin Bukit Bintang, disusuli pertemuan ke dua di JW Marriot. Kemudian pada petang hari istiadat pembukaan parlimen (Isnin), satu lagi pertemuan berlaku di Chorus Hotel Jalan Ampang. Pada hari yang sama di tengah malam juga beliau mendakwa dihubungi lagi untuk bertemu di Saujana Golf & Country Resort Subang.
“Saya ada rekod mengenai semua ni.. jangan nak persoalkan, nanti saya dedah satu persatu”, tegas bekas Ketua Penerangan Bersatu itu.
Beliau mendakwa pertemuan itu dilakukan dengan teliti di dalam bilik hotel tempat tertutup dan identiti individu-individu yang bertemu dengannya juga tidak dikenali kerana menurut Wan Saiful, mereka menggunakan nama samaran.
Namun Wan Saiful berkata beliau kenal dengan satu nama, “Ada satu nama yang diulang berkali-kali yang mungkin inilah dia punca kuasa .. Farhan .. dia sebut banyak kali”, katanya.
Dalam semua pertemuan di atas itu, Wan Saiful berkata mesejnya jelas iaitu mesti memberi sokongan kepada YAB Perdana Menteri dan sebagai balasan ada habuan yang menanti beliau.
”Peruntukan parlimen RM1.7 juta ringgit, peruntukan pusat khidmat.. peruntukan projek mesra rakyat yang katanya boleh diagihkan kepada kroni-kroni saya. Mereka tahu saya tengah susah sekarang ini kerana isteri saya (mengidap) kanser”, ujar Wan Saiful sebelum dicelah oleh backbenchers kerajaan iaitu Ahli Parlimen Jelutong YB Tuan RSN Rayer yang mendakwa apa yang dimaklumkan oleh Wan Saiful itu adalah sangkaan jahat beliau terhadap Perdana Menteri dan mencabar Wan Saiful untuk melakukan laporan rasmi terhadap SPRM jika ianya benar.
Politik negara sememangnya tular mengatakan ada pihak mendakwa mereka mewakili kerajaan untuk menarik sokongan ahli-ahli parlimen pembangkang bagi menyokong YAB PM.
’Budaya’ ahli-ahli parlimen bebas memberi sokongan kepada siapa yang mereka kehendaki bermula semasa kerajaan Perikatan Nasional (PN) selepas perletakkan jawatan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad dari kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Namun kini ahli parlimen tidak lagi bebas untuk beralih sokongan kerana mereka terikat dengan Akta Lompat Parti. Namun terdapat kelompongan di dalam akta itu di mana sudah enam ahli parlimen Bersatu telah menyatakan sokongan kepada kerajaan Madani.
Wan Saiful juga kini didakwa di mahkamah dengan 18 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM5.59 serta dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM6.9 juta.