BELANDA: Malaysia dengan tegas bukan sahaja mahu Israel segera melaksanakan gencatan terhadap kezaliman kepada penduduk Gaza, namun harus juga menghentikan dasar dan amalan pendudukan haram dan pengusiran rakyat Palestine dari tanah mereka.
Ia disampaikan melalui Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan. Malaysia juga mahu rejim Zionis itu menawarkan pampasan penuh kepada rakyat Palestine yang hilang keluarga serta harta benda.
Pendirian itu dizahirkan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) The Hague, Belanda semalam, secara lisan pada sesi pendengaran Bagi Mendapatkan Pendapat Nasihat ICJ itu. Kehadiran kali kedua Malaysia dalam sesi tersebut sejak 2004 adalah terhasil daripada Resolusi 77/247 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 30 Disember 2022 apabila Malaysia menyokong dan menaja resolusi berkenaan.
Malaysia juga menekankan agar semua negara membantu Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi pelarian Palestin (UNRWA) termasuk bertanggungjawab penuh untuk memastikan badan itu berfungsi dengan lebih berkesan dalam menjalankan misi kemanusian di kawasan bergolak tersebut, walaupun terdapat beberapa negara anggota sekutu Israel yang berhenti memberikan bantuan kewangan kepada badan kemanusiaan itu kerana terpedaya dengan propaganda Israel yang mendakwa UNRWA menaja keganasan.
Walaupun PBB hingga hari ini gagal membantu Palestine dari cengkaman Zionis akibat kuasa veto dari sekutu kuatnya Amerika Syarikat, Malaysia masih berpendirian optimis bahawa PBB perlu meneruskan peranannya untuk menamatkan pencabulan rakyat Palestin di dalam menentukan nasib sendiri dan pendudukan Israel yang secara terangan melanggar undang-undang antarabangsa.
Kata Mohamad lagi, Malaysia masih mempercayai peranan ICJ selaku badan kehakiman antarabangsa untuk menjalankan peranan bagi menghentikan kezaliman terhadap Palestin.
Mohamad juga mengingatkan masyarakat antarabangsa bahawa Israel sememangnya berniat untuk mengubah peta demografi Palestin dengan melakukan sekatan dan kepungan serta memaksa mereka berpindah ke kawasan lain. Ditambah dengan tindakan kejam dengan menyekat akses rakyat Palestin daripada segi perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan sumber air utama serta menghalang daripada menjalani kehidupan sebagai penduduk bebas dan merdeka.
Maka dengan itu, bagi melumpuhkan keganasan Zionis dari berterusan, Malaysia menggesa semua negara agar segera menghentikan sebarang bentuk bantuan kepada Israel dan mengakui tindakan rejim Zionis itu telah mencetuskan krisis kemanusian kepada warga Palestin.
“Maka menjadi kewajipan jus cogens (undang-undang memaksa) yang perlu ditanggung oleh semua negara untuk melihat perkara ini dengan serius,” katanya.