PETALING JAYA: Tourism Selangor telah memperluaskan misi jualan ke Laos dalam usaha menarik kedatangan 5.6 juta pelancong menjelang akhir tahun ini.
Menurutnya, inisiatif itu dilaksanakan semasa Forum Pelancongan ASEAN (ATF) yang diadakan di Laos dari 22 hingga 26 Januari lalu.
Jelasnya, misi jualan selama lima itu telah menghimpunkan pemain utama industri pelancongan antarabangsa, untuk meningkatkan aliran kemasukan pelancong ke negara-negara ASEAN.
“Tourism Selangor telah merebut peluang ini untuk mempamerkan produk pelancongan ikonik, seperti Geopark Gombak Hulu Langat, Jungle School Gombak, Permatang Kuarza Gombak, SplashMania, Discovery Park, Paya Indah Wetlands, Sky Mirror dan FunPark.
“Produk pelancongan yang dibawa kali ini, memfokuskan kepada tarikan ekopelancongan dan taman tema dan telah diperkenalkan kepada lebih 400 pembeli dan penjual antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, Tourism Selangor juga telah mengadakan sesi Business-to-Business (B2B) dengan kerjasama Persatuan Ejen- Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) dan Persatuan Pelancongan ASEAN (ASEANTA) semasa ATF di Laos.