JEDDAH, 26 Jan — Di kawasan bersejarah Jeddah, yang merupakan pintu masuk utama untuk umat Islam menuju ke Mekah, penyanyi rap Ty Dolla $ign dalam konsertnya bertanya beberapa soalan kepada peminat Arab Saudi yang sedang berhibur .
(Suatu kejutan bagi umat Islam apabila negara yang mereka kiblatkan, iaitu Arab Saudi kini mengikut budaya Barat seperti konsert)
“Di mana gadis-gadis seksi?” jerit penyanyi Amerika Syarikat yang berusia 41 tahun itu di festival muzik Balad Beast, Jeddah.
Ia merupakan suatu perkara yang janggal di Arab Saudi yang konservatif, yang membenarkan pesta bercampur jantina berskala besar bermula lima tahun lalu, tetapi masih mengekalkan dasar tanpa alkohol.
Konsert Ty Dolla $ign di kawasan tertua di Jeddah, yang dikenali sebagai Al-Balad itu, dihadiri juga artis hip hop ternama seperti Wu-Tang Clan dan Major Lazer.
Ini adalah salah satu usaha kerajaan Arab Saudi untuk mempromosi tapak Warisan Dunia Unesco, serta mengembangkan daya tarikannya untuk golongan muda Arab Saudi dan warga asing.
Di bawah Wawasan 2030, suatu wawasan dan rancangan yang bercita-cita tinggi, Putera Mahkota Mohammed bin Salman mahu membangunkan ekonomi negaranya keluar dari sektor minyak , di mana negara itu adalah pengeksport minyak mentah terbesar dunia.
(Putera Mahkota Mohammed bin Salman)
Kerajaannya menyasarkan 3,000 bilik hotel baharu di Al-Balad untuk menarik berjuta-juta pelancong dari luar negara. Di sekeliling kawasan Balad Beast itu, kawasan seluas 2.5 kilometer persegi (hampir satu batu persegi) sedang pesat membangun dengan kafe, muzium, ruang persembahan dan bengkel bagi artis serta kraftangan.
Penduduk Jeddah mengakui sedikit bimbang mengenai perubahan di kawasan yang dekat dengan ibadah haji serta umrah tahunan bagi umat Islam sedunia dan pasar tradisional Ramadan.
Tetapi itu tidak menghalang sekumpulan peminat muzik ravers yang memenuhi empat pentas di Balad Beast, dengan cat muka berkilauan dan pelbagai fesyen. Kebanyakan wanita pula tidak bertudung rambut dan tidak menutup muka seperti kebisaan wanita Arab Saudi sebelum ini.
“Setiap kali saya datang ke Saudi, ia adalah suasana yang menggembirakan,” kata Ty Dolla $ign, di mana kadangkala, dia menggunakan kata-kata tidak sopan untuk penekanan (bergurau) dengan penonton.
Ia merupakan bandar bersejarah, Al-Balad berfungsi penting sejak abad ketujuh sebagai hab untuk jemaah haji dan pedagang.
Pemerintah dan pengasas Arab Saudi, Raja Abdulaziz menakluk Jeddah pada tahun 1920-an, dan pada tahun 1947 pertumbuhan pesat mendorong pihak berkuasa untuk merobohkan tembok yang mengelilingi Al-Balad, jantung kota itu.
Beberapa pintu pagar masih berdiri, walau bagaimanapun, begitu juga dengan bangunan batu karang Al-Balad yang unik, kebanyakannya mempunyai balkoni yang dibina daripada kayu jati.
Unesco memberikan status tapak Warisan Dunia Al-Balad pada tahun 2014, dan pada tahun 2018, usaha “pemulihan” giat dijalankan sambil diawasi oleh kementerian kebudayaan.
Hari ini, penghadang hijau yang didirikan oleh kementerian melindungi kerja-kerja pemulihan di vila, masjid dan pasar yang telah wujud berabad-abad lamanya, yang dikenali sebagai souk. Kalendar perayaan dan pameran seni yang semakin berkembang telah memeriahkan kawasan kejiranan, menarik orang yang mungkin tidak berminat dengannya sebelum ini, kata Ali Assi Loush, seorang DJ Lubnan yang telah tinggal di Jeddah selama 20 tahun.
“Sekiranya Balad tidak mempunyai pesta seperti ini, atau apa sahaja acara yang ada sekarang, tiada satu pun daripada generasi baru akan datang ke Balad. Mereka akan pergi ke pantai sahaja, “katanya. “Mereka tidak berminat (generasi baru) dengan kedai-kedai lama itu.” Bagi sesetengah warga emas, bagaimanapun, penambahan baharu itu membimbangkan, katanya, yang menyamakan sikap itu seperti sifat berhati-hati ini seorang nenek yang enggan berpisah dengan kerusi kesayangan. “Dia (nenek itu) tidak akan benarkan anda mengubahnya, membuangnya, walaupun ia telah dipecahkan… Tidak, itu kerusinya. Ia adalah perkara yang sama (seperti pembangunan di Balad), “kata Loush.
Abir Abusulayman, seorang pemandu pelancong Saudi, berkata kebanyakan orang bersemangat tentang masa depan Al-Balad, dan terdapat penyelesaian yang jelas bagi mereka yang bimbang dengan arus pembangunan itu. “Mereka boleh tinggal di rumah,” katanya. “Mudah dan ringkas.”
Perdebatan tentang apa yang berlaku di Al-Balad sebahagiannya didorong oleh perubahan yang lebih luas di Jeddah, di mana projek pembangunan semula bernilai AS$20 bilion yang sedang berjalan akan menyebabkan setengah juta orang kehilangan tempat tinggal. Pihak berkuasa meletakkan projek itu sebagai pembangunan yang boleh menggantikan “kampung lama” dengan kemudahan seperti stadium, mall dan gedung opera.
Tetapi beberapa penduduk yang terjejas telah mengadu mereka tidak tahu bagaimana untuk mendapatkan pampasan, dan marah tentang gambaran desas-desus di mana kawasan kejiranan mereka boleh bertukar menjadi sarang dadah dan jenayah.
Abusulayman, pemandu pelancong, berkata dia tidak sedih kawasan kejiranan yang telah musnah — kebanyakannya jauh dari Al-Balad — meramalkan mereka akan digantikan dengan sesuatu yang lebih baik.
“Saya sangat gembira kerana mereka sudah tiada (penduduk kampung lama). Ini adalah daerah yang tidak (pernah) dirancang… tiada sekolah, tiada taman, tiada klinik, dan sesetengah orang hanya membina rumah tanpa mempunyai tanah,” katanya.
Sebaliknya dia lebih suka kepada ciri-ciri baharu kehidupan di Al-Balad kini, begitu juga mereka yang berpesta hingga larut malam semasa Balad Beast. “Secara peribadi saya suka berpakaian dalam gaya vintaj dan ini adalah perkara yang sama, ia adalah suasana yang sama,” kata Abdulrahman Alhabshi, 20, ketika imej penghibur ditayangkan di dinding berhampiran.
Adnan Manjal, seorang DJ kelahiran Jeddah yang dikenali sebagai AZM, juga begitu semangat tentang evolusi Al-Balad. “Untuk melihatnya berubah bukan sahaja menjadi tapak warisan Unesco tetapi juga lantai tarian,” katanya, “sangat luar biasa.”
Sumber — AFP