PADA Disember lalu begitu ramai rakyat Malaysia mengunjungi Hatyai di selatan Thailand, sesuatu yang jarang berlaku berbanding sebelum ini.
Ini menyebabkan kawasan gerai makanan dan perniagaan malam di tempat-tempat seperti Lee Gardens menjadi tumpuan pelancong terutama rakyat Malaysia.
Penulis yang turut berada di bandar selatan Thai itu, mendapati kawasan Lee Gardens sesak pada waktu malam. Ramai yang berjalan-jalan untuk makan, urut kaki bersama-sama keluarga atau menjamu selera dengan pelbagai jenis makanan tempatan Thai termasuk ‘street food’.
Sebahagian besar daripada rakyat Malaysia menjadikan Hatyai sebagai destinasi percutian bersama-sama keluarga.
Hotel, restoran dan tempat menarik bagi pelancong termasuk Samila Beach dan Bee Farm menerima jumlah pengunjung di luar dugaan terutama pada hujung minggu dan cuti umum Krismas dan tahun baharu.
Satu laporan media menyatakan rakyat Malaysia mendahului senarai pelawat antarabangsa ke Thailand pada 2023.
Laporan itu memetik Menteri Pelancongan dan Sukan, Sudawan Wangsuphakijkosol sebagai berkata, Thailand menerima 28 juta pelawat antarabangsa tahun lepas, yang membelanjakan sejumlah 1.2 trilion baht (kira-kira RM161.52 bilion).
Secara purata menteri itu menyatakan kira-kira 123,000 pelancong dari Malaysia memasuki Thailand setiap hari.
Mengapakah rakyat Malaysia begitu gemar ke Thailand khususnya Hatyai. Antara faktor utama dan yang paling ketara ialah soal kemampuan yang berkait rapat dengan kos percutian murah dan mampu bayar.
Selain itu kadar kos penginapan juga rendah dan harga makanan yang murah dan sedap.
Ramai juga rakyat Malaysia yang ke Hatyai semata-mata untuk berurut. Pemerhatian penulis semasa di sana, ramai rakyat kita mengambil kesempatan mengurut kaki bersama-sama anggota keluarga mereka dengan kos serendah 200 baht atau RM26.
Antara tempat lain yang menjadi tumpuan pelancong ketika berada di Hatyai ialah pasar Kim Yong. Di sini pengunjung boleh membeli pelbagai jenis buah-buahan, kerepek dan makanan tempatan seperti ‘nasi khamok’.
Menurut pengusaha Kafe Bareeka, Raihana, jumlah pengunjung yang begitu ramai terutama dari Malaysia mendorongnya membuka kafe tersebut.
Kafe Bareeka yang diusahakan oleh Raihana bersama-sama adiknya, Husneeyah dan abang iparnya, Piyatat, menyediakan pelbagai juadah halal termasuk kuih-muih Melayu Thai termasuk pulut udang.
Pengangkutan ke Hatyai pula turut dipermudahkan dengan adanya perkhidmatan ETS ke Padang Besar dan Komuter Sawadee yang masuk terus ke Hatyai yang disediakan oleh Keretapi Tanah Melayu (KTM).
Selain itu ramai juga yang memasuki Thailand melalui Bukit Kayu Hitam atau mendapatkan sewaan MPV atau van terus dari Kuala Lumpur.
Terdapat agensi pelancongan Malaysia yang menghantar rombongan antara 15 hingga 20 bas ke Hatyai pada setiap minggu.
Selain kemudahan pengangkutan, Hatyai di selatan Thai menjadi tumpuan kerana ia ‘percutian luar negara’ yang paling dekat dan murah.
Sumber – UTUSAN