KUALA LUMPUR: Ejen perkapalan rayu campur tangan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dalam isu melibatkan prosedur dan penambahbaikan kemudahan Pelabuhan Klang Selatan (South Port).
Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn Bhd, Datuk Seri R Jeyenderan berkata akibat prosedur dan kekurangan fasiliti di South Port, negara kerugian RM300,000 sebulan kerana tidak ada kapal berlabuh pelabuhan tersebut.
“Sebaliknya, syarikat kapal memilih untuk berlabuh di pelabuhan pesaing, menyebabkan negara rugi ratusan ribu ringgit setiap bulan,” katanya dalam sidang media disini, hari ini.
Jeyenderan berkata pihaknya sudah membuat aduan dan cuba berbincang dengan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) namun, masih tidak dapat mencari jalan penyelesaian.
Lebih buruk lagi, apabila menyuarakan masalah ini, syarikat beliau didakwa mempertikaikan peraturan keselamatan pelabuhan.
“Sebelum ini saya pernah meminta LPK menambahbaik prosedur sedia ada melibatkan saiz kapal yang dibenarkan berlabuh, dan waktu berlabuh yang hanya dibenarkan antara 8 pagi hingga 5 petang sahaja ,” katanya.
Jeyenderan berkata pihaknya tidak mendapat sebarang maklumbalas dari LPK sebaliknya syarikat milik beliau, Maritime Network didakwa mengabaikan aspek keselamatan dan menyebabkan keadaan berbahaya apabila kapal bersaiz besar kepunyaan pelanggan syarikat itu berlabuh di pelabuhan.
Jeyenderan meminta LPK untuk lebih profesional ketika berurusan dengan pelanggan berikutan kegagalan komunikasi oleh LPK berhubung satu e mel dihantar oleh Maritime Network pada 16 Oktober lepas.
“E mel berkaitan kerja-kerja penyelenggaraan yang dibuat di Pelabuhan Klang meminta LPK mengeluarkan jadual selama tiga bulan waktu terbaik untuk berlabuh. Tapi selepas kami tunggu lebih empat, LPK masih tidak beri sebarang maklum balas,” katanya.
Jeyenderan berkata antara alasan yang diterima secara lisan oleh petugas di LPK termasuk tiada lampu sorot di Pelabuhan Selatan untuk kerja-kerja berlabuh diwaktu malam,” katanya.
Selain itu, Jeyenderan berkata kedalaman di Pelabuhan Kurap, Klang hanya mencecah 6.5 meter sejak setahun lalu.
“Had kedalaman sebenar di Pelabuhan Kurap adalah 7.5 meter namun kini akibat tiada kerja-kerja membersihkan terusan, laluan disitu hanya 6.5 meter menyebabkan kapal tidak dapat berlabuh,” katanya.
Jeyenderan berkata bagi setiap meter kedalaman, sebuah kapal mampu membawa muatan sehingga 5,000 tan dan kekurangan kedalam seperti yang berlaku di pelabuhan itu menyebabkan berat muatan terpaksa dikurangkan namun kos pengangkutan kekal sama.
Jeyenderan memohon Loke untuk mempertimbangkan satu sesi libat urus bersama pemain industri dan LPK untuk mencapai penyelesaian dalam permasalahan ini.
Bagaimanapun pada Oktober lalu, LPK pernah menafikan tuduhan itu sebaliknya mendakwa menghubungi Northport, operator terminal pada 16 Oktober 2023 untuk berhubung dengan pengadu dan mendapatkan butiran mengenai jangkaan draf (kedalaman) kapal dalam tempoh tiga bulan untuk penyediaan jadual pasang surut air laut.