PETALING JAYA: Datasonic Group Bhd dimaklumkan telah menerima surat anugerah (LOA – Letter of Award) dan lanjutan empat kontrak daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan jumlah RM175 juta.
Syarikat penyedia penyelesaian teknologi maklumat dan komunikasi bersepadu itu berkata, KDN telah menganugerahkan unit milik penuhnya Datasonic Technologies Sdn. Bhd. (DTSB), kontrak untuk membekalkan kad mentah (raw cards) MyKad, MyTentera, MyPOCA kepada Jabatan Pendaftaran Negara Jabatan (JPN).
Kontrak enam bulan bernilai RM28.69 juta itu bermula dari 1 Disember 2023 hingga 31 Mei 2024.
Sementara itu, KDN telah menganugerahkan surat lanjutan kontrak selama enam bulan kepada DTSB untuk empat kontrak, bermula dari 1 Disember 2023 hingga 31 Mei 2024.
Lanjutan kontrak adalah untuk perkhidmatan penyelenggaraan menyeluruh pusat pemperibadian kad di JPN sebanyak RM11.35 juta, pembekalan cip pasport Malaysia kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sebanyak RM60.2 juta, pembekalan dokumen pasport Malaysia kepada JIM untuk RM25.33 juta, dan pembekalan muka surat biodata polikarbonat kepada JIM sebanyak RM49.43 juta.
Pengerusi Eksekutif Datasonic, Datuk Seri Tengku Abu Bakar Ahmad Tengku Abdullah berkata, syarikat itu berbesar hati untuk meneruskan peranannya sebagai penyedia tunggal penyelesaian pasport kepada JIM sejak 2016.
“Kejayaan ini mencerminkan rekod prestasi dan penyampaian kami yang terbukti. Datasonic telah dapat menampung lonjakan permintaan yang kukuh untuk pasport sejak pembukaan semula sempadan serta untuk MyKad sambil menavigasi isu seperti gangguan rantaian bekalan dan kos input yang tinggi,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata penghantaran pasport Datasonic mencecah rekod tinggi baharu pada tahun kewangan 2023 (TK2023), justeru Kumpulan menjangkakan permintaan kekal kukuh pada masa hadapan.
Katanya, Datasonic akan terus berusaha untuk menyediakan penghantaran yang luar biasa dan tepat pada masanya sambil memainkan peranan dalam keselamatan negara di samping memanfaatkan kepakaran dan pengalamannya.
“Kami berterima kasih atas kepercayaan berterusan yang diberikan oleh kerajaan kepada kami dan ini menunjukkan keyakinan pelanggan terhadap kami,” tambahnya.
Datasonic mencatatkan keuntungan bersih RM18.15 juta pada suku kedua berakhir 30 September 2023 (2QTK2024), turun 27.13 peratus daripada RM24.91 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.
Pendapatannya melonjak lebih 20 kali ganda di tengah-tengah lonjakan permohonan pasport dan MyKad termasuk permohonan kali pertama dan pembaharuan berikutan pembukaan semula sempadan antarabangsa pada 1 April 2022.
Bagi enam bulan berakhir 30 September 2023 (6BTK2024), keuntungan bersih Datasonic meningkat sedikit kepada RM37.19 juta daripada RM36.94 juta pada 6BTK2023, apabila hasil meningkat 9.1 peratus kepada RM172.07 juta daripada RM157.71 juta.
Sumber – UTUSAN