OLEH: SYEEDA SHAM
DAP adalah sebuah parti untuk semua kaum. Malangnya, sentimen ‘DAP anti Melayu’ yang berulang kali dimainkan parti lawan berjaya mempengaruhi orang Melayu agar ‘takut’ kepada DAP. Ini termasuklah dakwaan kononnya DAP mahukan jawatan PM jika pembangkang menang, DAP akan ketepikan hak orang Melayu dan pelbagai dakwaan lain. Ikuti temubual tularr.com bersama Adun Stulang dari DAP, YB Andrew Chen Kah Eng mengenai isu ‘Melayu takut DAP’.
Sejauh mana sentimen ini memberi kesan kepada DAP terutama dalam mendapatkan sokongan orang Melayu?
Memang merupakan taktik UMNO selama ini untuk memecahbelahkan rakyat Malaysia untuk terus berkuasa. Mereka cuba menfitnah DAP dengan melabelkan DAP sebagai parti yang chauvinis dan komunis.
UMNO meraih sokongan dengan menanam perasaan takut ini di kalangan orang Melayu dan mendakwa hanyalah UMNO yang mampu melindungi Melayu. Slogan yang hangat dilaungkan adalah “UMNO jatuh, Melayu jatuh”.
Di depan orang Cina, MCA akan memdakwa DAP menggadaikan hak orang cina dengan menyokong hudud dan tidak memperjuangkan hak-hak orang Cina. Di depan orang Melayu, UMNO pula akan menggatakan bahawa DAP anti Melayu, anti Islam dan anti raja-raja Melayu.
Akibatnya, DAP gagal mendapat sokongan di kalangan orang Melayu sebelum tahun 2008.
Pada pendapat saya, taktik memburukkan imej DAP ini dah kian layu dan sukar dipercayai oleh kaum Melayu kerana ramai yang telah tahu tipu helah UMNO.
Walaupun kesan fitnah ini masih ada, tetapi ia semakin hari semakin tidak mendapat tempat kerana ada isu-isu yang lebih penting seperti rasuah, keadaan ekonomi Malaysia, dan juga kos sara hidup rakyat yang kian menekan.
Bagaimanakah caranya DAP memperbetulkan atau mengatasi masalah ‘imej buruk’ di mata orang Melayu ini?
Untuk mengatasi masalah ini, tiada jalan pendek. Justeru itu, sejak ditubuhkan, DAP sentiasa dan konsisten dalam perjuangannya dalam membela nasib setiap Rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.
Kita juga sentiasa menegaskan bahawa :
- DAP tidak pernah menafikan bahawa agama Islam merupakan agama rasmi Malaysia.
- DAP juga mengiktiraf kedudukan raja-raja Melayu dalam sistem demokrasi berpelembagaan kita. Kita tidak pernah anti raja-raja Melayu.
- DAP juga berpegang kepada Bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi Malaysia.
Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa DAP menggunakan Bahasa Melayu dalam semua urusan rasmi parti termasuk bertutur dalam Bahasa Melayu dalam Persidangan DAP.
Tun Dr. Mahathir juga telah memainkan peranan penting dalam menangkis tomahan tersebut.
Beliau semasa menghadiri persidangan DAP buat pertama kalinya dalam sejarah pada 2006 juga mengatakan bahawa DAP mempunyai semangat kenegaraan Malaysia yang lebih kuat daripada MCA. Beliau juga mengakui bahawa pandangannya terhadap DAP dahulu tidak betul.
Tun Dr. Mahathir juga berkata : “Dahulu ketika saya hadiri Mesyuarat Agung MCA, lagu parti dinyanyikan dalam bahasa Cina (Mandarin) tetapi DAP menyanyi dalam bahasa Kebangsaan (Melayu).
Adakah sokongan pengundi Melayu sangat penting kepada DAP? Sedangkan majoriti calon DAP bertanding adalah di kawasan pengundi bukan Melayu.
Sokongan pengundi Melayu amat penting di setiap kawasan yang ditandingi oleh DAP baik di kawasan majoriti bukan melayu mahupun kawasan campuran di mana bilangan pengundi Melayu dan bukan melayu adalah lebih kurang sama.
Pada PRU14, setiap undi adalah sangat mustahak kerana kita bertanding di bawah satu sistem pilihanraya yang memihak kepada BN dari segi persempadanan kawasan pilihanraya. Justeru itu, kita memerlukan undi yang jauh lebih tinggi agar kita boleh membentuk kerajaan.
Selain itu, untuk menjatuhkan kerajaan BN pada PRU14, kita memerlukan sokongan padu setiap kaum. Kita perlu mengekalkan sokongan kaum bukan melayu seperti pada PRU13 di samping menaikkan sokongan pengundi Melayu di setiap kawasan.
Sokongan Melayu akan dapat bertindak sebagai pemangkin kepada kerusi-kerusi marginal untuk mencorakkan perubahan pada PRU14 di samping mengukuhkan keyakinan masyarakat bukan Melayu yang telah mengidamkan perubahan politik yang membawa kepada kerajaan yang bersih dan saksama.
Kemasukan orang Melayu seperti Dyana Sofea, Aziz Bari, A Samad Said dan terbaru Zaid Ibrahim ke dalam DAP, adakah membantu DAP mengikis imej kononnya DAP parti rasis dan anti Melayu?
Sama ada DAP merupakan parti rasis atau sebaliknya bukan hanya dinilai semata-mata dari sudut kemasukan orang Melayu ke dalam DAP sahaja.
DAP bukan parti rasis dan anti Melayu boleh jelas dilihat dalam perlembagaan parti sejak ditubuhkan. Dalam perlembagaan parti DAP, jelas tertera 18 matlamat perjuangan DAP untuk setiap kaum di Malaysia baik di Semenanjung Malaysia mahupun di Sabah/Sawawak. Malah perlembagaan parti adalah selari dengan perlembagaan Malaysia yang mendukung prinsip-prinsip demokrasi, kebebasan, kedaulatan undang-undang, dan penghormatan kepada hak-hak asasi manusia serta merangkumi ideal-ideal kebertanggungjawaban, kesaksamaan, keadilan dan pemeliharaan martabat manusia.
Tidak ada satu pun dasar DAP dalam perlembagaan parti yang menentang Islam, Melayu dan Raja-raja. Sebaliknya dalam perjuangan DAP, DAP jelas menentang rasuah.
DAP tidak anti Islam boleh dilihat lagi dalam pentadbiran Pulau Pinang yang diterajui oleh DAP. Sejak 2008 sehingga 2016, sebanyak RM41.6 juta telah diperuntukan untuk sekolah dan pendidikan Islam di Pulau Pinang. Satu angka yang jauh lebih tinggi daripada kerajaan BN sebelum ini. Selain itu, tanah bernilai RM80 Juta juga diperuntukkan untuk pembinaan mahkamah syariah Pulau Pinang.
Justeru itu, kerjasama dan peranan parti-parti komponen dalam Pakatan Harapan terutamanya PPBM amat penting dalam memberikan penjelasan kepada pengundi Melayu bahawa DAP bukan anti Melayu.
Agenda Anti DAP yang dulunya dibawa oleh Umno kini turut dimainkan oleh pemimpin Pas. Komen? Dan adakah ini menunjukkan Umno dan Pas sebenarnya gerun dengan DAP kerana jadikan parti ini sebagai sasaran?
Itulah taktik akhir mereka. UMNO dan PAS faham sekiranya setiap rakyat bersatu padu dan tidak terikut-ikut dengan rentak politik perkauman, maka UMNO dan PAS tidak akan mendapat tempat di Malaysia dan akan lenyap dalam lanskap politik Malaysia.
Jadi, PAS sekarang bersama UMNO cuba melagar-lagarkan rakyat dengan isu perkauman dan keagamaan.
Apakah sebenarnya yang menggerunkan mereka sebenarnya adalah : DAP bersama dengan PPBM, PKR, dan Amanah yang bersatu padu akan berjaya menyakinkan rakyat agar menghindarkan diri daripada politik perkauman.
UMNO/PAS mahu politik yang berkisar dan dihadkan kepada perkauman dan agama sahaja agar mereka senang memecahbelahkan rakyat.
YB sendiri sebagai Adun di sebuah negeri yang menjadi kubu kuat Umno, adakah merasakan DAP Johor mendapat tempat dalam kalangan orang Melayu di sini?
Walaupun Johor adalah kubu kuat UMNO, saya yakin lebih ramai pengundi Melayu dan bukan Melayu akan berpihak kepada kita pada PRU14 ini. Ini adalah kerana DAP Johor sentiasa memperjuangkan hak rakyat setiap kaum dalam banyak aspek dan dasar yang amat relevan.
Kita sentiasa berdebat dalam isu dalam dasar pembangunan negara yang jauh lebih penting. Antara isu-isu yang telah diperdebatkan, diperhalusi, diketengahkan adalah : ekonomi, kos sara hidup, peluang pekerjaan dan perniagaan, ketelusan pentadbiran, rasuah, keselamatan negara, perubatan, perumahan, pengangkutan, pendidikan, air, agama dan kebudayaan, pertanian, sukan, pelaburan, perindutrian, alam sekitar dan banyak lagi.
Untuk mendapat sokongan yang kukuh dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia:
DAP tidak akan bersaing dangan MCA/MIC untuk melihat siapa lebih Cina atau India. Begitu juga PPBM juga tidak seharusnya bersaing dengan UMNO/PAS untuk melihat siapa lebih Melayu atau lebih Islam.
Ini adalah kerana, untuk menonjolkan kita sama ada kita “lebih Melayu atau lebih Cina atau lebih India”, kita akhirnya akan menyakiti hati kaum-kaum yang lain.
Sebaliknya, dengan prinsip yang kukuh kita perlu dan akan ketengahkan dengan konsisten dasar-dasar yang mesra rakyat yang mampu menaikkan taraf hidup setiap rakyat di samping meningkatkan hubungan baik antara setiap kaum.
Sekiranya, politik Malaysia terus berkisar atas konsep perkauman dan rakyat masih terus “diketagihkan” dengan unsur ini, maka BN akan terus berkuasa dan Malaysia akan akhirnya menjadi negara gagal (Fail state).
Adakah isu sensitif orang Melayu dan Islam seperti RUU355, hudud akan terus menjadi sebab mengapa orang Melayu ‘tidak suka’ dengan DAP?
RUU355 merupakan helah atau cubaan UMNO/PAS untuk menjadikan Melayu tidak suka DAP. Saya rasa orang Melayu Islam yang bijak tidak akan terpedaya dengan helah UMNO/PAS dalam RUU355.
UMNO/PAS lansung tidak dapat mencari sebarang bukti bahawa DAP anti-Islam. Malah DAP telah menunjukkan kewibawaan di bawah pentadbiran DAP. Jadi, UMNO/PAS cuba menjadikan RUU355 sebagai alasan untuk Melayu tidak suka kepada DAP.
Apabila DAP tidak setuju dengan RUU355, maka DAP dicap sebagai rasis. Tetapi apabila MCA atau Gerakan mengatakan mereka tidak setuju dengan RUU355, tiada sebarang tuduhan bahawa mereka rasis. Bahkan Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari yang mengatakan dia tidak setuju dengan undang-undang hudud dilaksanakan di Sarawak juga tidak dituduh sebagai rasis.
Ini jelas menunjukkam bahawa RUU355 hanya merupakan alat politik UMNO/PAS untuk cuba menghasut Melayu tidak suka DAP dan juga untuk cuba menimbulkan perbezaan pendapat di kalangan parti-parti dalam Pakatan Harapan.
Jadi, mudah-mudahan dengan usaha dan penjelasan kita, kesan RUU355 adalah pada tahap yang amat minima.