Mereka yang bersimpati dan menyokong akan perjuangan kebebasan Palestin telah lama kecewa dengan kegagalan pemimpin Arab untuk mengambil pendirian tegas menentang pencerobohan Israel. Sebenarnya, ada sebabnya kenapa dunia Arab seakan-akan ‘membenarkan’ keganasan terus berlaku selama lebih 70 tahun ke atas rakyat Palestine dari kekejaman tentera Zionis Israel.
Setiap kali Israel meningkatkan dan memperluaskan kekejamannya terhadap rakyat Palestin, sekutu Baratnya segera bertindak untuk menyokong jenayah kemanusian itu. Pemimpin negara seperti Australia, Jerman, Perancis, UK dan AS terus memberi sokongan dengan penuh semangat kepada rejim Zionis Israel. Media mereka terlalu menyokong Zionis, menguatkan naratif perkauman yang membenarkan jenayah Israel dan melakukan yang terbaik untuk memutarbelitkan fakta bahawa Israel adalah yang ditindas dan menjadi mangsa, bukan sebaliknya. Bantuan kecemasan bernilai berbilion dolar telah disegerakan melalui parlimen untuk membantu tentera Israel dalam melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestine yang tidak berdosa.
Walaupun semua sokongan ini diberikan kepada Israel, kerajaan-kerajaan negara yang kebanyakannya berbangsa Arab dan Islam hanya duduk ‘mencangkung sambil menghisap ibu jari mereka’. Mereka bersikap pasif yang sangat menyedihkan dan melambangkan kelemahan penyatuan dunia Arab dan Islam.
Ia dipamerkan dengan jelas pada persidangan gabungan khas Liga Arab (Arab League) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (Organisation for Islamic Cooperation) baru-baru ini. Kononnya digambarkan sebagai perhimpunan terpenting dan “luar biasa” sebagai tindak balas terhadap pembunuhan beramai-ramai di Gaza, tetapi persidangan itu bermesyuarat hanya sehari. Selepas banyak teriakan, retorik dan isyarat, satu-satunya permintaan konkrit daripada wakil-wakil terkemuka dunia Arab dan Islam ini ialah untuk “mengadakan persidangan keamanan antarabangsa, secepat mungkin”. Itu sahaja. Malah sekatan ekonomi dan perdagangan dengan Israel yang diusulkan oleh negara Islam yang miskin, telah ditolak mentah-mentah oleh negara Arab yang kaya seperti Arab Saudi dan Qatar.
Untuk bersikap adil, terdapat lebih banyak usul mereka semasa persidangan ‘pertunjukkan’ itu. Sementara pemimpin Arab dengan ‘sabar’ menunggu Israel menyelesaikan serangan jenayah ke atas penduduk awam Gaza, para pemimpin Arab ini pula komited untuk “menyokong usaha Mesir bagi menyampaikan bantuan kepada Palestine”.
Ini kedengaran baik dan bagus, kecuali jika anda tahu bahawa Mesirlah yang sebenarnya mengawal dan mengekang bantuan yang sangat tidak mencukupi itu, yang kini melalui persimpangan Rafah ke Gaza. Pada masa yang sama, Mesir telah membantu Israel mengekalkan pengepungan di Gaza selama tujuh belas tahun yang lalu.
Dunia Islam hanya mampu berdemonstrasi, masuk gambar ke dalam sosial media. Ya ia kelihatan memukau, namun langsung tidak menggoyahkan Zionis Israel dan sekutunya.
Tidak hairanlah rakyat Palestin dan penyokong mereka marah terhadap pemimpin Arab yang menyedihkan ini. Retorik berapi-api yang didengari pada majlis-majlis sebegini tidak pernah langsung menghasilkan sebarang tindakan nyata, sama ada dari segi solidariti praktikal kepada rakyat Palestin atau dalam menekan Barat untuk menghentikan kekejaman itu.
Ia bukan seolah-olah Timur Tengah tidak boleh ‘memeras ugut’ apa-apa ke atas Israel dan sekutunya. Negara Arab dan Islam mengawal sebahagian besar rizab minyak dunia yang diketahui; Arab Saudi dan Iraq sahaja menguasai lebih daripada 21 peratus eksport minyak harian global. Ini memberikan pengaruh yang besar kepada negara-negara ini untuk menjadi kuasa dunia bagi membantu Palestine.
Tetapi ia bukan hanya minyak. Terusan Suez, yang dimiliki dan dikendalikan oleh kerajaan Mesir, adalah penting untuk perdagangan global. Laporan oleh kedutaan New Zealand di Kaherah menganggarkan nilai barangan yang diangkut melalui terusan itu ialah AS$1 trilion setahun, yang mewakili kira-kira 30 peratus daripada perdagangan perkapalan global. Apabila ia terputus selama hanya enam hari akibat kemalangan pada 2021, kos kepada ekonomi dunia dianggarkan $9.6 bilion sehari, menurut data dari Senarai Lloyd.
Jadi mengapa pemimpin Arab dan Islam sebenarnya tidak menggunakan mana-mana kuasa ini bagi menekan Israel dan sekutunya ?
Mudah, kerana mereka tidak mahu. Sebagai peserta dalam sistem global kapitalisme dan imperialisme, kejayaan mereka bergantung pada kestabilan dan keuntungan keseluruhannya. Inilah sebabnya mengapa kebanyakan mereka selari dengan AS, yang merupakan satu-satunya negara yang masih paling berkuasa di pentas dunia.
Seperti mana-mana bahagian lain dalam kelas pemerintah global, pemimpin Arab dan Muslim tidak mempercayai perpaduan etnik, kebangsaan atau agama. Satu-satunya komitmen mereka adalah untuk keuntungan dan kuasa-terutama untuk diri mereka sendiri. Jika keuntungan itu perlu untuk bersama dan bersekutu dengan AS dan Israel, maka mereka sanggup.
Selain itu, terdapat juga pemimpin Arab dan Islam memimpin negara-negara yang dilanda kemiskinan dan ketidaksamaan endemik, di mana wanita dan pelbagai minoriti dinafikan hak asasi mereka. Mengapakah putera mahkota Arab Saudi atau presiden Turki mengambil berat tentang penindasan Palestin apabila mereka sendiri secara ganas menindas minoriti Syiah dan Kurdish di negara mereka sendiri?
Ini terpakai sama dengan pemerintahan diktator Islam di Iran. Di sebalik permusuhan dangkal mereka terhadap AS dan Israel, mengapa pemimpin tertinggi mereka perlu mempertaruhkan kuasa domestik dan serantau mereka yang luas untuk mempertahankan Palestin sedangkan mereka sendiri menindas kaum wanita mereka, malah ada yang dibunuh ?
Rejim-rejim ini kadang-kadang bercakap tentang penindasan rakyat Palestin untuk memberi diri mereka gambaran palsu yang popular, tetapi mereka tidak akan meletakkan apa-apa pada usaha nyata untuk menamatkannya.
Sudah tentu, dunia Arab mempunyai alasan dan tidak bersendirian dalam pendekatan ini. Pemimpin Barat dahulu tidak melakukan apa-apa untuk menghalang holocaust (pembunuhan Yahudi) di Jerman oleh pemerintahan Nazi mahupun pembunuhan beramai-ramai di Rwanda dan Armenia, walaupun menggunakan kekejaman yang dahsyat ini untuk mewajarkan agenda empayar mereka. Sebenarnya kelas pemerintah tidak boleh dipercayai untuk memperjuangkan keadilan.
Jadi ya, kita patut marah kepada pemimpin Arab dan Islam kerana gagal menyahut seruan Palestin untuk solidariti. Tetapi kita tidak perlu terkejut. Tindak-tanduk mereka bukanlah akibat dasar yang buruk, tetapi kedudukan mereka sebagai kuasa pemerintah yang cuba mentadbir sistem yang berteraskan eksploitasi, persaingan dan peperangan.
Sebelum dunia Arab dan Islam benar-benar menunjukkan solidariti yang bermakna dengan perjuangan Palestin untuk pembebasan, mereka perlu terlebih dahulu membebaskan diri mereka daripada golongan elit kapitalis yang korup dan mementingkan diri sendiri.