Kuala Lumpur: DAP seolah-olah tidak belajar dari pengalaman mereka menjadi kerajaan 22 bulan pasca PRU14 lalu. Ketidakselesaan orang Melayu sewaktu kerajaan Pakatan Harapan (PH1.0) sewaktu itu telah memberi kekuatan kepada UMNO (sewaktu itu pembangkang) untuk kembali bangkit.
Kini apabila DAP menjadi kerajaan sekali lagi, isu-isu sensitif terus dimainkan kembali oleh kepimpinan utama mereka.
Perjuangan Perdana Menteri bukan Melayu yang tidak sesuai dengan keadaan pola hubungan kaum sekarang, dan inginkan kuasa yang lebih lagi dengan pilihanraya kerajaan tempatan di bandar-bandar.
DAP yang mendapat sokongan majoriti dari kaum Cina sememangnya telah diketahui merupakan penduduk teramai di kawasan bandar. Sudah tentu ini akan memberikan mereka kelebihan untuk menang di setiap bandar jika pilihanraya tersebut diadakan. Ia menjadi kegusaran buat kaum Melayu yang sedia maklum penguasaan ekonomi dan hartanah di bandar jauh lebih rendah berbanding kaum Cina, yang sejak turun temurun berada di bandar sejak ditempatkan oleh penjajah British.
Selain itu, isu persempadanan kawasan pilihanraya yang ditimbulkan oleh beberapa pemimpin Melayu DAP juga harus diberi perhatian. Mereka berniat untuk menambah bilangan ahli parlimen yang akan menguatkan parti mereka supaya kehadirannya lebih banyak di parlimen.
Sebagai contoh kawasan Kota Raja yang mempunyai beratus ribu pengundi dan Mohammad Sabu sebagai ahli parlimennya menang lebih majoriti 100 ribu undi dengan penyokong-penyokong PH dan DAP. Pemimpin DAP mahu kawasan yang besar penduduk seperti ini dibahagikan, sama juga seperti kawasan Teressa Kok di Seputeh sebagai contoh.
Di kawasan seperti ini, bandar, jika dipecahkan kepada 3 parlimen sekalipun, kemenangan pasti akan menjadi milik parti yang bersama DAP. Maka ahli parlimen mereka akan bertambah, wakil bukan Melayu juga bertambah di Dewan Rakyat. Di dalam perlembagaan ini adalah tidak salah, dan hak sesiapa sahaja boleh menjadi ahli parlimen jika kawasan parlimen baru ditubuhkan.
Apa yang disebut di atas amat menggusarkan orang Melayu. Ia merupakan senjata yang kuat kepada Perikatan Nasional (PN) untuk terus mendominasi sokongan orang Melayu. Maka UMNO akan terus mengecil di dalam gabungan PH-BN, dan kekuatan sebenar dalam gabungan tersebut tentunya daripada DAP.
Parti DAP telah lupa kesederhanaan mereka semasa ingin membentuk kerajaan perpaduan bersama UMNO setahun yang lalu. DAP akan tetap menjadi liabiliti kepada UMNO, dan sukar buat UMNO untuk terus bangkit. Atau adakah ini perancangan tersiratnya ? Sama-sama semua ahli politik Melayu fikirkan.
Akhbar Sallehuddin – Penganalisis Politik Bebas