Melaka : Ketua Pemuda UMNO, YB Dr Akmal Saleh hari ini telah memberi peringatan tegas kepada veteran politik DAP, Tan Sri Lim Kit Siang yang cuba mencetuskan polimik dan ketidakstabilan kepada kerajaan perpaduan dengan isu-isu yang melibatkan kepentingan agama Islam, bangsa Melayu dan raja-raja Melayu.
Ahli Dewan Undangan Merlimau itu berkata walaupun UMNO berada di dalam kerajaan bersama DAP, tidak semua cadangan dan tindakan dapat dikompromi.
”Kerajaan ini bukanlah kerajaan DAP, tetapi ia dibina dengan kehadiran UMNO dan segala keputusan yang melibatkan kepentingan agama Islam, bangsa Melayu dan raja-raja Melayu kami tidak akan sedikit pun berganjak apa lagi mengalah”, tegasnya.
Beliau mempersoalkan niat tersirat Kit Siang dalam isu “Perdana Menteri boleh dari bukan Melayu” kerana sudah 6 dekad Malaysia ditadbir berdasarkan konsensus dan kemuafakatan.
Tidak selesai dengan isu Kit Siang, Dr Akmal juga mempersoalkan kepimpinan DAP Kuala Lumpur melalui Pengerusinya, Tan Kok Wai yang mengusulkan kembali supaya mengadakan pilihanraya bandar tempatan (PBT). Kok Wai mencadangkan supaya Kuala Lumpur menjadi perintis dalam pilihanraya bandar-bandar di Malaysia sebelum dilaksanakan secara menyeluruh.
(Tan Kok Wai Pengerusi DAP KL dan Ahli Parlimen Cheras sejak 1995)
Untuk rekod, Pilihanraya PBT mendapat tentangan kerana umumnya bandar-bandar di Malaysia terdiri dari satu kaum sahaja majoritinya iaitu bangsa Cina dan pilihanraya itu bertindih dengan pilihanraya umum yang sedia diamalkan di negara ini sejak merdeka.
Dr Akmal percaya provokasi yang sedang dimainkan oleh beberapa pemimpin DAP ini bukan sahaja mencetuskan ketidakharmonian di kalangan rakyat Malaysia, tetapi juga di kalangan Kerajaan Perpaduan sendiri.
”Provokasi pendapat ini membuka ruang supaya ada perbincangan dan perbezaan pandangan yang akan melebarkan rasa tidak senang”, ujar beliau memberi peringatan.