LONDON – Wartawan BBC sekali lagi mendakwa saluran tersebut berat sebelah tentang liputan konflik Hamas-rejim Zionis.
Pendedahan tersebut dibuat menerusi surat ditandatangani oleh lapan wartawan berpusat di Britain, menurut laporan daripada Agensi.
Menurut laporan itu, kandungan surat yang didedahkan Al Jazeera turut menyenaraikan kegagalan BBC untuk menunjukkan situasi sebenar penderitaan penduduk Palestin.
Di dalam surat itu, mereka mengakui BBC kurang memberi tumpuan ke atas orang awam Palestin kerana sikap berat sebelah yang ketara.
Istilah seperti ‘pembunuhan beramai-ramai’ dan ‘kekejaman’ hanya digunakan untuk Hamas sebagai cubaan untuk menunjukkan kumpulan pejuang tersebut sebagai satu-satunya pelaku bertanggungjawab mencetuskan konflik di rantau berkenaan.
Ia jelas tidak tepat, namun laporan itulah yang dimainkan secara menyeluruh oleh BBC.
Salah seorang penandatangan itu juga percaya sebahagian pekerja dan wartawan peringkat tinggi kurang rasa simpati dengan nasib penduduk Palestin seperti yang biasa mereka zahirkan terhadap orang awam Ukraine yang berdepan kempen pencerobohan Rusia.