SHAH ALAM – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa Melayu akan hilang kuasa sekiranya persempadanan semula kawasan pilihan raya terutamanya di kawasan bandar dilaksanakan.
Menurut Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, langkah tersebut memberi kelebihan dan menyaksikan kerusi dimiliki DAP akan bertambah sekali ganda.
“Daripada 40 kerusi yang dimiliki oleh DAP sekarang mungkin akan bertambah menjadi 80 kerusi”, kata Presiden Bersatu itu.
“Saya percaya, pada masa itulah cita-cita utama DAP yang memperjuangkan kesamarataan hak dan penghapusan dasar-dasar pro-Bumiputera seperti yang terkandung di dalam Deklarasi Setapak 1967 dan Perlembagaan DAP akan dilaksanakan,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu (PAT) Bersatu 2023 kali ke-6 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini.
Namun, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng sebelum ini berkata dakwaan pembangkang berkenaan persempadanan semula kawasan pilihanraya melalui pindaan perlembagaan melalui parlimen sebagai tidak berasas kerana urusan persempadanan semula kawasan pilihan raya merupakan di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).