PETALING JAYA: Seorang Ahli Parlimen Bersatu yang tidak mahu dinamakan berharap parti itu akan menerangkan desas-desus bahawa presidennya, Muhyiddin Yassin, mungkin akan menyerahkan tampuk kepimpinan kepada setiausaha agung Hamzah Zainudin pada perhimpunan agungnya minggu ini, memetik laporan FMT hari ini.
Ahli Parlimen itu, berkata ahli-ahli Bersatu berada dalam ‘kegelapan’ berhubung peralihan kepimpinan itu, walaupun perbincangan mengenai kemungkinan sedemikian telah hangat sejak seminggu lalu. Beliau berkata ahli-ahli perlukan kejelasan segera berkenaan isu ini.
Ahli Parlimen itu juga berkata ramai yang memihak kepada Hamzah menggantikan Muhyiddin, walaupun ada yang mungkin menentang langkah menaikkan pangkat bekas menteri dalam negeri itu.
“Untuk mengelak sebarang bencana, lebih baik kita jelaskan kepada ahli mengapa Hamzah perlu menjadi presiden seterusnya.”
Sementara itu, sumber yang tepat di Bersatu berkata perkara itu sebenarnya telah dibincangkan oleh pemimpin tertinggi.
“Hampir semua bersetuju Hamzah menjadi presiden seterusnya, jadi dari segi kepimpinan tertinggi, tidak akan timbul sebarang isu mengenai Hamzah mengambil alih,” kata sumber itu.
Muhyiddin, yang merupakan perdana menteri dari 2020 hingga 2021, baru-baru ini memberitahu FMT dia “melatih” Hamzah untuk menjadi ketua pembangkang.
Secara tradisinya, jawatan ketua pembangkang disandang oleh ketua parti atau ketua gabungan; sepatutnya Muhyiddin sendiri.
Sementara itu, seorang pemimpin akar umbi menyuarakan harapan agar parti itu menyemak semula perlembagaannya selepas empat ahli Parlimennya memutuskan untuk memberi sokongan kepada kerajaan Anwar Ibrahim.
Empat mereka ialah Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli).
“Jika kita mengukuhkan perlembagaan kita, kita tidak akan mempunyai ahli parlimen kita yang berikrar sokongan kepada kerajaan.
“Dan jika ia tidak diteliti, kita mungkin mempunyai lebih ramai ahli yang berikrar menyokong Anwar,” kata pemimpin akar umbi itu.
Beliau mencadangkan Bersatu mencontohi DAP dalam meminda perlembagaannya sebagai mengiktiraf kelemahan undang-undang anti-lompat.
DAP telah meminda perlembagaannya tahun lepas untuk melucutkan keahlian mereka yang tidak mengikut barisan parti.
“Kita harus melakukan sesuatu seperti itu,” katanya.
Pada Selasa, Naib Presiden Bersatu Radzi Jidin berkata usul untuk meminda perlembagaan parti akan dibentangkan pada AGM walaupun beliau menegaskan “ia tiada kaitan dengan lompat parti”.
Bersatu yang berdepan krisis selepas empat Ahli Parlimennya menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim, perlu segera bangkit jika ingin mengimbangi kekuatan “gelombang hijau” PAS dalam Perikatan Nasional (PN), terutamanya soal hala tuju dan kepimpinan parti itu, kata penganalisis.
Penganalisis politik berpendapat Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu bermula hari ini hingga Sabtu perlu menjadi medan pimpinan untuk mengembalikan kepercayaan ahli dan rakyat dengan mengumumkan langkah pemulihan bagi mengawal “kerosakan”.
Bersatu dilihat terlalu bergantung harap daripada pemimpin UMNO yang lompat ke parti itu di mana mereka mempunyai rekod kurang “bersih” dan terdedah kepada tekanan untuk mengalihkan sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dahulu. Bersatu perlu menyaring calon mereka di masa hadapan dengan memilih pemimpin yang kental.
Di dalam gabungan PN, Bersatu mempunyai peranan besar sebagai pengimbang kepada PAS yang potensi keadilannya masih diragui masyarakat bukan Islam kecuali komuniti itu di negeri pimpinannya sahaja (utara dan pantai timur).
Faktor ‘sokong Muhiyddin’ amat penting ketika ini. Selain menjejaskan kekuatan Bersatu, kedudukan serta imej Muhyiddin tercalar akibat langkah empat Ahli Parlimen Bersatu yang memberi sokongan kepada Perdana Menteri.
Pada waktu yang sama, berita keretakan kepimpinan parti masih berputar. Diberitakan Muhyiddn tidak sehaluan dengan Setiausaha Agung Hamzah Zainudin yang dikatakan mahu merampas jawatan presiden. Kedua-dua pemimpin menafikan itu semua.
Namun tindakan Muhyiddin melantik Hamzah sebagai Ketua Pembangkang juga boleh dilihat sebagai ‘perancangan’ mengubah pucuk pimpinan. Secara lazim, Ketua Pembangkang merupakan bakal Perdana Menteri jika barisan pembangkang menjadi kerajaan. Lihat seperti Anwar Ibrahim yang dahulunya merupakan ketua pembangkang. PN juga memecahkan tradisi ketua pembangkang apabila Bersatu menjadi ketua pembangkang, di mana sepatutnya parti terbanyak kerusi iaitu PAS boleh memikul tanggungjawab itu.
Perhimpunan agung tiga hari Bersatu bermula hari ini.