PADA 1 November lepas, kerajaan mengumumkan keputusan untuk menamatkan subsidi ayam dan langkah yang diambil itu mendapat pelbagai reaksi negatif dalam kalangan masyarakat. Semua fobia kerana subsidi merupakan ‘sebahagian hidup’ rakyat Malaysia. Bila sebut nak dikurangkan atau ditarik subsidi, semua seperti panik dan marah pada kerajaan. Walhal tidak faham usul pangkal pun berkenaan subsidi dan beza apabila harga pasaran ditentukan oleh permintaan serta penawaran.
Formula kebanyakan orang Malaysia ialah apabila subsidi ditarik, harga jadi mahal. Sebenarnya tidak semua begitu. Harga ayam dilihat stabil, malah ada tempat mengalami penurunan harga kerana faktor penawaran dan permintaan di sesuatu kawasan itu, mendorong pembekal serta peruncit menentukan harga bagi memperoleh keuntungan yang baik.
Sekarang rata-rata pengguna memberi maklum balas positif berkenaan harga ayam yang ditawarkan peniaga sejak penamatan subsidi bermula. Ada yang berpendapat, harga yang ditawarkan lebih stabil dan akan terkawal dengan berlakunya lambakan bekalan.
Bukan itu sahaja, ada juga pengguna media sosial yang berpendapat langkah kerajaan mengapungkan harga ayam adalah satu tindakan bagus kerana dapat mewujudkan persaingan sihat antara peniaga.
Dalam konteks ini, sudah tentu peniaga juga mahu memperoleh keuntungan dengan menawarkan harga yang mampu milik buat pelanggan mereka dan rata-rata peniaga juga tidak menaikkan harga sesuka hati walaupun tanpa subsidi.
Bagaimanapun, apa pun tindakan yang diambil kerajaan perlu sentiasa peka dan cakna dengan perubahan harga yang berlaku.
Selain itu, kerajaan perlu memainkan peranan penting daripada segi membuat pemantauan harga secara mengejut di beberapa lokasi seluruh negara bagi memastikan tiada peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga ayam di pasaran sehingga membebankan pengguna.