Kuala Lumpur : Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi menyuruh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mencerminkan dirinya terlebih dahulu sebelum mendakwa empat ahli parlimen Bersatu yang menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim itu diugut dan disogok.
“Muhyiddin patut cermin diri sendiri. Siapa yang guna kaedah ugut dan sogok. Semua ahli parlimen UMNO yang keluar parti (pada tahun) 2018 dan masuk Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) 2019 jadi menteri”, katanya di dalam siaran facebook.
Puad memberi contoh pemimpin UMNO yang ditarik masuk ke Bersatu seperti Datuk Seri Mustapa Mohamed, Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad, Datuk Seri Ikmal Hisham Abd Aziz, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dan Datuk Shabudin Yahaya semua diberi jawatan Menteri.
“Pemimpin UMNO seperti Najib, Ku Nan, Zahid, Shahril Samad dan Azeez Rahim pula diugut dengan puluhan tuduhan. Mereka tidak lari.
“Tanya Tok Pa dan Hamzah. Kenapa lari? Takut didakwa. Peruntukan punya hal pun boleh lari, ini semua kerana mereka tidak ada jati diri,” katanya lagi.
Terdahulu, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu mendakwa, terdapat gerakan terancang parti lawan untuk melemahkan partinya dan Perikatan Nasional (PN) dengan menggunakan sogokan dan ugutan terhadap ahli-ahli Parlimen.
Bagaimanapun, bekas Perdana itu menegaskan, Bersatu tidak akan tunduk terhadap pakatan jahat itu dan tindakan yang lebih tegas akan diambil kepada mereka yang memberi sokongan kepada Perdana Menteri.