KUALA LUMPUR – Golongan kaya di Malaysia yang memiliki aset boleh labur antara AS$100,000 hingga AS$2 juta memerlukan purata simpanan persaraan sebanyak RM3.9 juta (AS$829,234) untuk bersara dengan selesa.
Menurut laporan pertama Kualiti HSBC, jumlah itu lebih rendah daripada Hong Kong (RM5.2 juta) dan Singapura (RM4.4 juta) tetapi lebih tinggi daripada United Kingdom (UK), RM3.6 juta dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), RM3.3 juta.
“Responden milenium (berumur 25-39 tahun) di Malaysia berkata, mereka memerlukan purata RM4.86 juta untuk bersara dengan selesa, Gen X (berumur 40-54 tahun) RM4.53 juta dan golongan boomer (berumur 55-69 tahun) RM2.57 juta.
“Responden mengatakan simpanan peribadi, diikuti oleh skim simpanan persaraan dan dana saham dan pelaburan bon individu sebagai sumber pendapatan utama yang mereka harapkan untuk digunakan apabila mereka bersara,” kata laporan itu pada Isnin.
“Namun, golongan kaya di Malaysia berhasrat untuk bersara awal pada usia 57 tahun, tiga tahun lebih awal daripada umur persaraan wajib di Malaysia iaitu 60 tahun.
Laporan itu juga memperincikan golongan individu kaya yang ditinjau juga berbeza pandangan mengenai rancangan untuk bekerja selepas bersara, dengan 44 peratus mengatakan mereka akan bekerja selepas bersara, manakala 44 peratus mengatakan mereka tidak akan bekerja, dan baki 12 peratus masih belum membuat keputusan sekarang.
Sementara itu, Ketua Kekayaan dan Perbankan Peribadi Peringkat Negara HSBC Malaysia, Linda Yip berkata, tinjauan kualiti hidup itu memberi gambaran yang menarik tentang keperluan holistik golongan kaya di Malaysia dengan kekukuhan kewangan adalah penting bagi mereka, begitu juga kesejahteraan fizikal dan mental.
“Mereka berhasrat untuk bersara awal tetapi juga sedar bahawa mereka perlu menyediakan simpanan kewangan yang besar untuk bersara dengan selesa. Mereka juga bimbang tentang kesihatan fizikal dan inflasi perubatan mereka yang boleh menjejaskan simpanan persaraan mereka.
“Ini menekankan kepentingan perancangan kewangan, kebergantungan kepada gaji dan warisan sahaja sebagai sumber kekayaan mungkin tidak mencukupi dalam jangka masa panjang, oleh itu adalah penting untuk menyediakan portfolio kewangan yang pelbagai dan kukuh,” jelasnya.
Tambahnya lagi, mencarum kepada pelan pencen adalah permulaan yang baik, begitu juga dengan pelaburan dalam aset kewangan yang sesuai dengan mereka.
“Penting untuk berunding dengan penasihat kekayaan yang boleh mengenal pasti keperluan kewangan dan yang disesuaikan dengan rancangan peribadi,” ujarnya.
Sumber : Sinar Harian