KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan di dalam proses untuk mendapatkan dua Pesawat Peronda Maritim (MPA) dari Itali yang mempunyai keupayaan mengesan kehadiran kapal selam di kawasan Laut China Selatan khususnya di wilayah Sabah.
Menteri Datuk Seri Mohamad Hasan berkata ini kerana radar jarak jauh (LRR) Angkatan Tentera Malaysia (MAF) di Pangkalan Udara Laut Labuan tidak dapat mengesan kapal selam dan hanya mampu memantau ruang udara yang kini lebih tertumpu ke arah Laut China Selatan yang “sibuk” kebelakangan ini.
“Kita juga dalam proses perolehan yang telah diluluskan Majlis Keselamatan Negara untuk memperoleh satu lagi LRR yang akan kita letak di Pulau Layang-layang kerana yang di Labuan tidak nampak sejauh itu.
“Jadi, kita perlukan satu lagi radar untuk diletakkan di Pulau Layang-layang supaya kita boleh melihat di luar kawasan ZEE (zon ekonomi eksklusif) kita,” katanya menjawab soalan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) yang mahu untuk mengetahui keupayaan LRR di Pangkalan Udara Laut Labuan, pada persidangan Dewan Rakyat pada Isnin (30 Okt).
Sementara itu, Mohamad berkata Radar Coastal Surveillance System (CSS) telah dipasang di 13 lokasi meliputi pantai Kudat sehingga Tawau bagi memantau pantai timur Sabah.
“Pada masa ini, terdapat lapan radar yang baru dinaik taraf pada 16 Sept lepas membabitkan radar CSS 1206. Bagaimanapun, terdapat lima radar AESA SPEXER 2000 CSS yang mengalami kerosakan dan tidak menjimatkan untuk dibaiki.
“Semua peralatan radar CSS AESA SPEXER 2000 telah dikeluarkan untuk dilupuskan. Kementerian juga telah mengenal pasti keperluan untuk menutup sepenuhnya jurang di kawasan itu dengan membeli enam (5 penggantian dan 1 tambahan) radar pengisi jurang baharu,” katanya.
Tambah menteri itu, jumlah peruntukan bagi perolehan enam radar itu ialah RM57 juta yang akan diperoleh di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (13 MP).
Sumber – Bernama