Kuala Lumpur: Penggunaan media sosial adalah kaedah paling mudah dan cepat menyebarkan pelbagai maklumat yang belum dipastikan kesahihan dalam usaha mempengaruhi seseorang terutama pengundi ketika kempen pilihan raya atau pun kempen pemilihan parti politik.
Untuk rekod, di negara ini terdapat 28 juta pengguna media sosial dan ia sudah pasti menjadi alat paling ampuh dalam menyampaikan apa jua maksud atau matlamat yang diinginkan.
Mana-mana pihak yang berjaya menguasai media sosial, ia pasti mencapai kelebihan, dan mungkin kemenangan.
Oleh itu, pengguna perlu bijak dalam menilai maklumat yang diterima agar tidak mudah terpengaruh atau terpesong dengan dakyah dan maklumat yang tidak benar, palsu dan separuh masak.
Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata, tindakan memesongkan fakta menggunakan media sosial adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab kerana sanggup menggunakan taktik yang tidak jujur untuk meraih sokongan.
“Matlamat tidak menghalalkan cara. Kempen politik mestilah bersih dan tidak memanipulasikan fakta,” katanya.
Penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) Dr Azmi Hassan pula berkata, jika sudah ada niat untuk memanipulasi sesuatu isu, sememangnya ada kumpulan yang dikatakan pintar kerjanya memesongkan maksud menggunakan sesuatu maklumat.
“Kumpulan pintar maklumat ini boleh mengubah sesuatu fakta itu yang maksud asalnya betul tetapi kemudian dipesongkan, ia dengan kepintaran mereka menyunting di pelbagai kemudahan termasuk platform media sosial.
Kepintaran mereka yang menggunakannya boleh memesongkan maklumat yang sebenar dengan mudah, lari dari maksud asal.
Ia mengganggu kestabilan, masyarakat sukar mengetahui sama ada yang dihebahkan itu benar-benar dimaksudkan atau pun dipesongkan dan lebih merisaukan kerana ada sekumpulan masyarakat yang mudah dipengaruhi perkara negatif tanpa mendengar dua belah pihak.
Tak perlu hasut elemen kebencian melampau
Setiap parti politik perlu bertanggungjawab dengan tidak terlalu menghasut elemen kebencian yang melampau dalam kehangatan berkempen politik.
Penganalisis Keselamatan dan Politik Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi Mara Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, untuk menjadikan politik yang membina, ia perlu wujud satu keadaan yang penuh dengan elemen diplomasi kemasyarakatan berteraskan perlembagaan, Rukun Negara serta keharmonian perhubungan kaum.
“Kita harus membina satu elemen berkepentingan sosioekonomi masyarakat kerana selama-lamanya kita tidak mahu politik negara terpalit atau terperangkap dalam politik sempit, politik berkepentingan kenegerian, politik kepentingan peribadi, Â yang berbentuk radikal dan mempunyai ciri-ciri ekstremisme agak ganas.
“Ini kerana pemimpin yang perlu dihormati dan diangkat adalah pemimpin penuh dengan sifat diplomasi termasuk tidak menekankan elemen kebencian melampau,” katanya.
Selain itu, katanya, turut dibimbangi berlaku perang siber dalam konteks negatif yang menggunakan elemen hasutan, membenci, emosi, mengadakan penyelewengan maklumat serta isu sensitif berkaitan 3R (kaum, agama dan institusi diraja).
Katanya, terdapat pihak tertentu dikesan memanipulasi maklumat berhubung fakta yang disunting semula demi kepentingan blok politik tertentu hanya semata-mata untuk memenangi pilihan raya.
“Jadi bangunlah dan sedarlah rakyat Malaysia. Pilihlah bentuk kepemimpinan lebih matang, berinovasi dan berdiplomasi kerana sesungguhnya sebagai sebuah negara yang aman dan sejahtera, kita harus mendokong elemen Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.
“Menyokong elemen berkepentingan negara. Memastikan kematangan demokrasi berasaskan diplomasi seperti kaedah yang kita gunakan untuk mencapai kemerdekaan dapat diteruskan.
“Bukannya berterusan terperangkap dakyah memancing emosi yang akhirnya mengheret negara dalam satu elemen kebencian melampau, satu bentuk kepimpinan kasar, ganas, radikal dan agak ekstrem dalam keuntungan satu pihak bercita-cita untuk membentuk sebuah kerajaan atau kepimpinan,” katanya.