PARLIMEN: Perikatan Nasional (PN) akan menentukan nasib terhadap salah seorang Ahli Parlimennya yang sebelum ini mengisytihar sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sama ada akan dipecat atau tindakan lain.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara “dalam sehari dua lagi” untuk membuat keputusan.
Desas-desus mengatakan PN tidak mampu mengurangkan ahli parlimennya lagi, dan hanya akan mengambil tindakan selain daripada memberhentikan keahlian Ahli Parlimen Kuala Kangsar itu, kerana Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid tidak bertukar kerusi dan masih duduk di blok pembangkang di Dewan Rakyat.
Hal ini selepas Iskandar Dzulkarnain dilaporkan menyokong dasar-dasar Kerajaan Perpaduan di bawah pentadbiran Anwar, namun ingin kekal sebagai pembangkang.
Untuk rekod pada 12 Oktober lalu, Iskandar Dzulkarnain dilaporkan mengisytihar sokongannya kepada Anwar dengan mendakwa dirinya mendengar banyak rintihan berterusan para pengundi di kawasannya yang mahu keperluan mendesak untuk menangani krisis kenaikan kos sara hidup yang melanda.
Namun dalam kenyataan sokongan kepada PM itu, beliau juga menyatakan sama sekali tidak akan meninggalkan atau mengkhianati Bersatu biarpun keputusan itu bakal menyebabkannya berdepan risiko dikenakan tindakan disiplin oleh parti.
Tindakan itu dikatakan semata-mata mahukan peruntukan untuk kawasannya. Tetapi PM tidak pernah membuat sebarang kenyataan umum yang meletakkan syarat bahawa ahli Parlimen pembangkang yang pada masa ini tidak akan mendapat peruntukan kerajaan.
Sebaliknya, Anwar dan ahli Parlimen kerajaan yang lain berkali-kali memberitahu ahli Parlimen pembangkang untuk mengadakan perbincangan dengan kerajaan untuk mendapatkan peruntukan yang sama dan memberi jaminan bahawa kerajaan terbuka kepada perbincangan sedemikian.
Sehari selepas itu, pada 13 Oktober lalu, PN melalui Setiausaha Agungnya> Hamzah Zainuddin mendakwa pula bahawa Iskandar Dzulkarnain diugut supaya menyokong kerajaan dan jika enggan, beliau akan didakwa atas kesalahan rasuah.
Hamzah berkata, tindakan menakut-nakutkan pemimpin itu dipercayai bertujuan mendapatkan sokongan supaya kerajaan kembali memperoleh sokongan dua pertiga majoriti di Dewan Rakyat.
Dakwa Hamzah lagi, pada 1 Oktober lalu, Iskandar Dzulkarnain dibawa untuk bertemu seorang pegawai tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sebuah hotel di Damansara dan diugut akan didakwa atas kesalahan rasuah jika enggan menandatangani kenyataan media yang disediakan lebih awal untuk menyokong kerajaan.
Bagaimanapun, SPRM menafikan bahawa badan berkuasa itu terlibat dalam pengisytiharan sokongan Iskandar Dzulkarnain manakala dakwaan pihaknya mengugut ahli Parlimen itu adalah bertujuan mencemarkan nama baik SPRM.
PM juga menafikan ada mengugut atau menyuruh sesiapa bagi pihaknya untuk bertemu mana-mana ahli parlimen pembangkang. Anwar dengan tegas mahukan Hamzah memberi bukti akan dakwaan itu dan tidak mahu Hamzah bersikap ‘bedal’ sahaja dalam mengeluarkan tuduhan.